
DI saat Amerika Syarikat (AS) giat memutuskan hubungan cip berteknologi tinggi dengan China, nama syarikat Innoscience menjadi tumpuan apabila tersenarai sebagai antara pembekal utama untuk sektor seni bina kuasa yang digunakan dalam pusat data kecerdasan buatan (AI) generasi baharu.
Menariknya, di sebalik gergasi AS dan negara Eropah lain, Innoscience muncul sebagai syarikat China pertama yang memfokuskan kepada teknologi galium nitride (GaN) iaitu material semikonduktor generasi ketiga yang terbuat dari senyawa galium dan nitrogen.
Mungkin ramai tidak tahu, individu penting di sebalik kebangkitan pantas syarikat itu ialah wanita warga China bernama Luo Weiwei.
Cip berteknologi tinggi yang dicipta dan dipasarkan oleh syarikat Innoscience. — Agensi
Luo Weiwei merupakan bekas saintis yang berkhidmat lebih 15 tahun di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) sebelum pulang ke tanah air untuk membangunkan teknologi semikonduktor generasi ketiga sendiri.
Weiwei menubuhkan Innoscience pada 2015 dan mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan masa depan pada bahan GaN yang diyakini bakal mengubah landskap kecekapan kuasa elektronik.
Dalam tempoh kurang enam tahun, syarikatnya berjaya menjadi yang pertama menghasilkan wafer GaN berasaskan silikon bersaiz lapan inci secara besar-besaran sekali gus melonjakkan China ke barisan hadapan dalam teknologi semikonduktor generasi baharu.
Wafer GaN adalah substrat berbentuk piringan tipis yang biasanya digunakan dalam penghasilan peranti elektronik seperti laser, LED, dan transistor karena sifat semikonduktornya yang unggul.
Menurut laporan agensi luar negara, wanita berusia 55 tahun itu memperoleh PhD dalam matematik di Massey University, New Zealand sebelum menyertai NASA pada 1999.
Luo Weiwei merupakan individu di sebalik kejayaan syarikat teknologinya. — Agensi
Di NASA, beliau berkhidmat di Marshall Space Flight Center, Alabama sebagai penyelidik bahan api roket sehingga memegang jawatan ketua saintis.
Beliau juga pernah menubuhkan dua syarikat dalam bidang bahan baharu sebelum kembali ke China.
"GaN ialah masa depan semikonduktor generasi ketiga dan China tidak boleh sekali lagi terlepas peluang ini," katanya.
Ketika teknologi enam inci GaN lebih diterima pakai, beliau nekad menghasilkan wafer lapan inci meskipun cabarannya jauh lebih besar.
Malah, pasukan jurutera terpaksa mendapatkan peralatan terpakai kerana sekatan Barat yang enggan menjual mesin mereka.
Namun, berkat sokongan pelbagai pihak, rantaian bekalan tempatan yang lengkap serta usaha gigih pasukannya, Innoscience berjaya melakukan lonjakan teknologi.
Pada 2021, syarikat itu mula menghasilkan cip GaN-on-Si secara besar-besaran.
Kejayaan Innoscience turut dipacu oleh penguasaan China dalam sumber galium dengan hampir 98 peratus pengeluaran global datang dari negara itu.
Kini, Innoscience bukan sahaja pengeluar GaN terbesar dunia, malah dianggap sebagai aset strategik dalam usaha mencapai kemandirian teknologi.
Ibu pejabat Innoscience yang terletak di Suzhou, China. — Agensi
Memilih lokasi ibu pejabat di Suzhou, Innoscience turut tersenarai dalam Bursa Saham Hong Kong, China.
Dengan penguasaan hampir 29.9 peratus pasaran global peranti kuasa GaN pada 2024 serta kapasiti pengeluaran sebanyak 70,000 wafer sebulan, syarikat tersebut kini menjadi sumber utama kepada pelbagai sektor.
Berfungsi sebagai semikonduktor generasi ketiga ia menawarkan kelebihan daripada segi kecekapan tenaga yang lebih tinggi dan saiznya lebih kecil berbanding cip silikon tradisional.
Ia juga digunakan meluas dalam stesen pangkalan 5G, komunikasi ketenteraan, radar serta aplikasi aeroangkasa.
Innoscience turut terlibat dalam reka bentuk, pembangunan dan pengeluaran pelbagai produk GaN.
Meskipun berdepan dengan tekanan Barat, kepakaran Weiwei menjadikan beliau kini antara pengusaha elektronik paling berpengaruh dalam bidang kuasa semikonduktor global. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram