
KISAH seorang kanak-kanak lelaki bernama Qaiser Ali Naim Kagaman yang dahulunya pernah tular di media sosial kerana menghidap kanser mata masih terpahat dalam hati ramai.
Baru-baru ini, ibunya sempat berkongsi video kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di akaun Threads Yunyun Nisa' Khairunnisa'.
Video ucapan anak istimewanya yang lebih mesra disapa Naim itu secara tidak langsung mengundang sebak kepada penonton.
BACA LAGI: Bekas saintis NASA asal China kini 'wanita besi' di sebalik cip buatan dalam pusat data AI
Mata kiri Qaiser Ali Naim yang terpaksa dibuang ketika berusia 10 bulan. — Facebook
Dalam video sama, Naim lengkap berpakaian seragam sekolahnya turut memberitahu perkembangan hidupnya kini selepas lebih empat tahun melawan penyakitnya.
Kata Naim, sepanjang tempoh itu, dia terpaksa menjalani sebanyak 17 kali rawatan kimoterapi.
"Kadang-kadang sakit sangat. Tetapi, abah selalu ada di sisi saya.
"Abah selalu cakap Naim boleh, Naim kuat," katanya.
Katanya, meskipun dia kini hanya menggunakan satu mata untuk melihat, ia tetap tidak menghalangnya daripada terus berjuang.
Naim juga dilihat sangat positif dalam setiap bicaranya dan menikmati proses serta takdir yang sudah ditentukan buatnya.
"Sekarang saya dah boleh nampak sikit. Tetapi, saya bersyukur saya boleh belajar dan bermain dengan gembira.
"Sebab ramai orang sayang saya. Saya cuma nak beritahu kita semua kuat. Terima kasih," ucapnya.
Melihat kata-kata itu terpacul dari mulut seorang anak kecil, rapuh dan luluh hati si ibu.
Bagi Nisa' anaknya kini bergantung pada satu mata, manakala sebelah lagi hanya dipasang dengan mata palsu.
Naim juga aktif melibatkan diri dalam pelbagai program dan pertandingan di sekolahnya.
"Sejuta kali bonda tengok, sejuta kali bonda menangis. Rasa sesak dada.
"Kawan-kawan bonda pun ikut menangis juga. Sekarang Naim dah kerap buka mata palsu dia di sekolah.
"Mungkin tak selesa. Risau tercicir. Terima kasih semua sebab mendoakan Naim, semoga segala kebaikan berbalik kepada kamu semua," luahnya.
Kisah perjuangan Naim pada masa sama menerima sokongan dan doa yang tidak henti daripada orang ramai anak kecil itu terus tabah melalui dugaan hidup. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram