
SIAPA sangka rasa tidak selesa memakai klip rambut ketika memandu menjadi titik permulaan kepada idea inovatif seorang wanita muda.
Pengasas Cozy Clip, Elena DiStefano berkata, beliau sering mengalami masalah apabila klip rambut yang keras menekan kulit kepala setiap kali bersandar di kerusi kereta.
Lebih mengejutkan, hasil penyelidikannya mendapati aksesori itu bukan sahaja tidak selesa, malah boleh mendatangkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan.
BACA LAGI: [VIDEO] Peroleh gaji cecah RM5,000 sebulan, Orang Asli terharu dapat kerja bersama The Asli Co
Enggan terus berkompromi antara gaya dan keselamatan, wanita berusia 21 tahun itu mengambil inisiatif mencipta klip rambut fleksibel menggunakan bahan lembut yang boleh melentur, namun masih mengekalkan fungsi serta gaya asal.
Selepas lebih tiga tahun menghasilkan pelbagai prototaip menggunakan pencetak tiga dimensi (3D), akhirnya Cozy Clip dilancarkan pada 11 Januari lalu, sebagai penyelesaian alternatif kepada klip rambut tradisional.
“Inovasi ini membolehkan pengguna berehat atau memandu dengan selesa tanpa rasa sakit di kepala.
"Misi saya adalah memastikan klip rambut yang keras dan berbahaya tidak lagi digunakan pada masa hadapan,” katanya menerusi catatan di Instagram miliknya, cozyclip.
Cozy Clip dilancarkan pada 11 Januari lalu sebagai penyelesaian alternatif kepada klip rambut tradisional. — Instagram/cozyclip
Usahawan berasal dari New York, Amerika Syarikat (AS) itu bagaimanapun mengakui pernah hampir berputus asa ketika membangunkan konsep aksesori rambut fleksibel ciptaannya.
“Saya belajar daripada kegagalan dan memilih untuk terus mencuba. Syukur, keputusan tersebut membuahkan hasil,” ungkapnya yang juga pernah membentangkan idea menerusi uji bakat program realiti televisyen popular dari AS, Shark Tank, sebanyak dua kali.
Elena kini bersedia memperkenalkan Cozy Clip ke pasaran antarabangsa termasuk Malaysia dengan menekankan keselesaan, keselamatan dan gaya sebagai tiga elemen utama.
Beliau turut membuka senarai minat di laman web rasmi thecozyclip.com bagi mereka yang ingin menjadi antara terawal mencuba produk tersebut.
Dengan komitmen untuk terus berinovasi, Cozy Clip dijangka mengubah cara wanita di seluruh dunia melihat aksesori rambut harian daripada sekadar item fesyen kepada produk yang mengutamakan keselamatan pengguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram