Penuntut kolej derita, tertekan hidup sebatang kara, dakwa bapa 'block' lepas kahwin baharu


  • Bonda
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Seorang remaja perempuan hidup sebatang kara selepas ditinggalkan bapanya yang didakwa berkahwin dengan wanita lain. — Gambar hiasan/Janaan AI

SEORANG penuntut kolej meluahkan rasa kecewa dan tertekan selepas didakwa terpaksa hidup sendirian tanpa sokongan keluarga.

Menjadikan laman Threads sebagai ruangan perkongsian dan pendapat orang ramai, remaja perempuan berusia 17 tahun itu menulis kisahnya menggunakan akaun baharu kerana enggan identiti dirinya dikenali.

Menurutnya, hidupnya mula berubah selepas ibu bapa bercerai dan dia memilih untuk tinggal bersama bapa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rindu, Alhamdulillah ibu kembali dalam dakapan', Farahdhiya sebak selepas 2 tahun tak berjumpa

BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar

Namun, selepas bapanya didakwa berkahwin baharu, hubungan mereka semakin renggang sehingga pelajar itu kini langsung tidak mendapat bantuan, malah disenarai hitam daripada menghubungi ayah kandungnya sendiri.

Ikat perut, wang simpanan lesap

Pelajar terbabit yang baru memulakan pengajian peringkat diploma mengakui berdepan kesukaran hidup apabila perlu menguruskan diri sendirian.

Lebih memilukan, wang simpanan hasil kerja sambilan diusahakan sejak kecil dalam akaun bank turut habis digunakan bapanya.

Disebabkan itu, beliau terpaksa berpuasa hampir dua bulan, hanya berbuka dengan air kosong, selain kerap menahan lapar hingga diserang gastrik.

"Buku tu atas nama ayah saya dan saya pemegang kedua sebab belum cukup umur jadi ayah boleh keluarkan duit simpanan saya bila-bila masa je.

"Nak dijadikan cerita, bulan lepas saya ajak ayah pegi bank keluarkan duit sebab nak kena bayar macam-macam, buku dan sebagainya tapi ayah mengelak, saya dah start prasangka buruk dengan ayah.

"Sebab dia tak nak pegi bank, banyak kali call dia kata nanti la nanti, sekali dapat tahu dia dah guna semua duit gaji yang saya simpan untuk sambung belajar," katanya.

Situasi itu mendesak dirinya untuk memonteng kelas kerana masalah kesihatan dan kekurangan tenaga malah, dia mengakui pernah terfikir untuk berhenti belajar dan mencari kerja demi menampung hidup.

Masalah kesihatan

Selain tekanan kewangan, pelajar itu turut berdepan masalah kesihatan apabila kitaran haidnya dikatakan tidak teratur.

Jelasnya, beliau mengalami pendarahan berpanjangan hingga melebihi 20 hari dalam tempoh sebulan, menyebabkan kos membeli keperluan wanita menjadi bebanan.

"Dah dua kali jumpa doktor, buat imbasan ultrasound dan katanya tiada ketumbuhan, doktor cuma cakap sebab hormon dan kena turunkan berat badan.

"Tapi saya tetap risau kenapa sampai 20 hari period, takut weh sumpah takut," tambahnya.

Ekoran ketiadaan duit, beliau terpaksa menggunakan kain kecil sebagai alas menggantikan tuala wanita yang nyata memberi kesan besar kepada keselesaan dan kesihatannya sebagai seorang wanita.

Buntu untuk meneruskan hidup, pelajar terbabit menyatakan hasratnya untuk menjual telefon bimbit yang sedang digunakan bagi mendapatkan wang dan menampung keperluan makan minum harian.

"Sekarang memang tengah sesak, sampai rasa nak berhenti belajar, saya benar-benar buntu dan tak tahu nak buat apa," luahnya mengakhiri perkongsian.

Kisah itu membuka mata masyarakat tentang cabaran yang dihadapi sesetengah pelajar, khususnya mereka yang kehilangan sokongan keluarga.

Hal tersebut secara tidak langsung boleh mengundang risiko mengalami masalah mental, selain menjejaskan prestasi akademik individu berkenaan.

Pun begitu, identiti remaja terbabit tidak diketahui dan pihak berwajib termasuk institusi pengajian tinggi serta agensi kebajikan disaran untuk lebih peka dan memberi perhatian terhadap kes-kes sebegini demi keselamatan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram