
SELEPAS dua tahun berjauhan, penyanyi dan pelakon Farahdhiya atau nama lengkapnya Nur Farahdhiya Mohd Amin melepaskan kerinduan terhadap ibunya apabila menyambut kepulangannya di tanah air baru-baru ini.
Terbang jauh beribu batu dari Portsmouth, England, ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) penuh emosi apabila gagal menahan sebak usai dipeluk anaknya.
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
"Mum's back, teruja dan tak sabar menunggu hampir dua jam ibu sampai semalam, I had butterflies in my stomach while waiting kerana tidak berjumpa selama lebih dua tahun.
"Rinduuuuuuu, Alhamdulillah ibu kembali dalam dakapan saya semula," kongsinya di laman Instagram.
Ibu
Insan hebat yang menjadi tunjang bakat seni pelakon kacukan itu ialah Aishah Jeannette Amin, yang disifatkan sebagai 'minah saleh' oleh anaknya yang juga berdarah campuran Melayu-Inggeris.
Bukanlah tipikal ibu handal di dapur, malah Farahdhiya sendiri pernah berseloroh bahawa bakat memasaknya tidak diwarisi daripada ibu, sebaliknya daripada mak cik sebelah arwah bapa yang tinggal bersama mereka ketika kecil.
Pun begitu, Aishah tetap menjadi simbol kasih sayang dan kekuatan dalam kehidupan Farahdhiya.
Usai kematian arwah suaminya (bapa Farahdhiya) pada Januari 2020, difahamkan merupakan kali terakhir Aishah pulang ke Malaysia untuk menghadiri majlis pengebumian dan sejak itu, pandemik COVID-19 menjadi pemisah ikatan dan pertemuan dengan dengan anak-anaknya.
Sejak itu, Farahdhiya lebih kerap berkunjung ke England demi bertemu ibu dan beberapa saudara maranya di sana bagi mengubati kerinduan yang lama dipendam.
Kini, pertemuan semula dua beranak itu menjadi salah satu detik dan hadiah paling bermakna dalam hidup pelantun lagu Bertakhta Di Hati tersebut kerana dapat kembali memeluk ibunya yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi panggilan video.
Selain personaliti yang penyayang dan sederhana, Aishah juga menjadi penguat semangat kepada Farahdhiya dalam meneruskan kerjaya seni.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam dunia hiburan, susuk tubuh wanita berusia lingkungan 70-an itu difahamkan sentiasa menjadi tulang belakang anaknya dalam meneruskan kerjaya seni diceburi di Malaysia.
Kini peluang kembali bersua muka dengan ibu, Farahdhiya dikatakan mahu meluangkan masa dan setiap detik bersama di samping aktiviti serta menu masakan Melayu yang cukup digemarinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram