
MASYUR di pentas nyanyian dan peragaan, penyanyi yang semakin meningkat naik Aisha Retno atau nama sebenarnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam memiliki rahsia tersendiri di sebalik kejelitaan dimiliki.
Berdarah kacukan Malaysia-Indonesia hasil keturunan ibunya yang berasal dari negara jiran, memberikan wanita berusia 25 tahun itu aura dan persona menawan setiap kali menghiasi muka hadapan akhbar fesyen.
Berkongsi lanjut tentang petua dan tip kecantikan diamalkan sejak sekian lama, pelantun lagu Sutera itu lantas menjawab jamu sebagai antara minuman yang membantu kesihatan kulit wajah.
BACA LAGI: 'Dia memang lahir dengan gaya 'swagger', ibu Johan Ghazali nafi anak makin sombong lepas popular
BACA LAGI: 'Cinta Mok, Pok jadi inspirasi', 42 tahun usia perkahwinan ajar Mekyun erti kasih sayang sebenar
Akui kurang gemar makan sayur-sayuran, namun perkongsian resipi jamu asli ibunya dalam masa sama mengekalkan rutin harian kosmetik memberi kesan positif pada kesihatan kulit dan fizikalnya.
"Walaupun saya tidak suka sayur, saya minum jus dan buah-buahan dan amalkan jamu asli memandangkan ibu memiliki darah keturunan Indonesia.
"Jamu membantu untuk kecantikan dalaman dan luaran, selebihnya jalani rawatan facial dan penjagaan rutin harian seperti bersihkan solekan sebelum tidur menggunakan rangkaian produk bersesuaian.
"Saya seorang takut suntikan jarum, maka memang tidak akan jalani suntikan vitamin atau apa saja, cuma buat laser pada wajah," katanya kepada Majoriti.
Selain itu, Aisha turut berkongsi amalan dengan sentiasa berwuduk lima kali sehari yang menurutnya tip semula jadi paling ideal.
Biarpun kedengaran agak klise, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjadikan amalan tersebut sebagai kewajipan setiap hari dan akan cuba sebaik mungkin untuk sentiasa berwuduk walaupun sibuk dengan jadual karier seni.
Dalam pada itu, anak sulung daripada dua beradik itu turut menyuarakan keterujaannya untuk membuka pendakap giginya yang telah lama dipakai sejak dua tahun lalu.
Jelasnya, detik penantian itu bakal berakhir tidak lama lagi dan Aisha dijangka membuka pendakap giginya pada hujung tahun ini.
"Dah dua tahun setengah pakai braces dan Alhamdulillah progress dah baik cuma perlu tutup gap je rasanya, insha-ALLAH hujung tahun akan buka braces.
"Cannot wait untuk memegang gigiku yang 'sebenarnya' (ketawa), tambahan pula banyak mengalami penurunan berat badan sehingga berubah jawline dan bentuk muka," ujarnya.
Berbicara mengenai perkembangan seninya, Aisha bakal mengadakan showcase pertama, The A.I.S.H.A Experience pada 20 September 2025 di JioSpace Petaling Jaya, Selangor.
Pada masa sama, beliau juga sibuk mempromosikan album studio berjudul Rehab. Fasa pertama album berkenaan memuatkan lima buah lagu iaitu Tak Adil, Jeda, Lengkapilah Kita (Missing Peace), Titik Temu dan Orbit.
Sekadar info, nama Aisha Retno bukan lagi asing dalam industri muzik tanah air dengan penyanyi muda berbakat ini semakin mengukuhkan kedudukannya menerusi suara lunak, karya kreatif serta gaya penampilan yang segar.
Dilahirkan pada 1 Ogos 2000 di ibu negara, darah seni mengalir kuat dalam dirinya melalui ibunya, Jean Retno Aryani yang pernah bergelar penyanyi keroncong popular di Indonesia pada era 1980-an manakala ayahnya, Sayed Sipulijam Sayed Alwee merupakan seorang ahli perniagaan dari Kelantan.
Meskipun memiliki latar keluarga seni, Aisha tetap menekankan pendidikan sebagai keutamaan dan dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya, sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada dunia muzik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram