Cantik dan menawan, ketahui 3 fakta unik budaya wanita Kenyah di Borneo


  • Gaya
  • Selasa, 26 Ogos 2025

Wanita Kenyah juga dikenali dengan kecantikan dan keanggunan mereka. — Gambar hiasan/Sarawak Cultural Village

DI sebalik kehijauan hutan hujan tropika dan deruan sungai yang tenang, tersembunyi sebuah warisan budaya yang kaya dan unik iaitu milik etnik Kenyah.

Etnik Kenyah ialah antara kaum besar etnik Orang Ulu yang menetap secara luas di daerah Belaga dan Telang Usan, Miri, Kapit dan Bintulu di Sarawak serta di Kalimantan, Indonesia.

Asal-usulnya juga dikatakan dari Kaum Dayak termasuk rumpun Kenyah-Kayan-Bahau yang berasal dari dataran tinggi Usun Apau, Daerah Baram, Sarawak.

BACA LAGI: [VIDEO] Guru teruja tengok ibu bapa kreatif guna bahan kitar semula hasilkan pakaian merdeka anak

BACA LAGI: Serlah identiti Malaysia, ini 5 jenama tempatan patut disokong menjelang Merdeka

Keindahan budaya mereka terutama wanita Kenyah turut memainkan peranan penting dalam melestarikan adat, seni dan warisan masyarakat Malaysia.

Etnik Kenyah juga merupakan antara kaum yang dikenali kerana mempunyai raut wajah yang cantik bagi wanita dan tampan buat lelaki.

Pakaian tradisional wanita Kenyah

Kebanyakan pakaian direka dengan corak khas yang terbentuk daripada susunan manik pelbagai warna kontras menghiasi kain hitam. 

Pakaian dinamakan Ta'a bagi wanita itu kebiasaannya dikenakan ketika berlangsungnya acara besar atau untuk menyambut tetamu istimewa.

Pakaian tradisional bagi wanita Kenyah. — Gambar hiasan/Lepau Kenyah

Ta'a juga akan dipakai dengan tali diperbuat daripada daun pandan untuk diikat di kepala yang selalunya dipakai pada warga emas.

Wanita yang memakai pakaian tradisional tersebut turut dilengkapi dengan aksesori seperti gelang tembaga dan anting-anting panjang yang membezakan mereka daripada etnik lain di Borneo.

Warisan seni kalung

Bagi kaum wanita Kenyah, melukis dan memiliki tatu atau dipanggil kalung di badan merupakan antara adat dan tradisi uniknya.

Bagi mereka, mempunyai tatu bukan sahaja simbol kecantikan, malah dipercayai sebagai persiapan kehidupan selepas kematian.

Lukisan tatu atau kalung dianggap sebagai seni warisan tradisional wanita Kenyah. — Gambar hiasan/Instagram orangulu

Berdasarkan kepercayaan mereka, tatu pada tubuh wanita dapat menjadi penerang di jalan yang gelap.

Setiap kalung dilukis dengan pelbagai motif dan simbol seperti tumbuh-tumbuhan, haiwan dan wajah manusia.

Kesemua motif juga menggambarkan kehidupan seharian mereka.

Adat perkahwinan

Masyarakat Kenyah juga mempunyai adat resam budaya unik yang masih diamalkan sehingga sekarang.

Dalam membuat persediaan perkahwinan, sebuah pondok kecil yang dihias indah dijadikan sebagai pelamin buat pengantin.

Pelamin tersebut dinamakan 'uma' jakok' atau rumah rokok tradisional kaum Kenyah.

Keluarga pengantin perempuan diutamakan dalam tradisi masyarakat Kenyah. — Gambar hiasan

Segala upacara perkahwinan pula perlu berlangsung di rumah pengantin perempuan dan wakilnya akan menjaga pintu utama ketika pengantin lelaki tiba.

Mereka juga berperanan untuk mengira permintaan hantaran yang ditetapkan sebelum membenarkan pihak lelaki masuk ke dalam rumah.

Lebih menarik lagi adalah pasangan yang sudah berkahwin wajib tinggal bersama-sama dengan keluarga si isteri sekurang-kurangnya selama satu atau dua tahun.

Ia bertujuan bagi membalas jasa serta budi ibu bapa yang telah menjaga anak perempuannya itu sejak kecil sehingga dewasa.

Setelah lulus tempoh itu, barulah pasangan suami isteri dibenarkan untuk membina penghidupan sendiri dan berdikari di kediaman lain.

Masyarakat Kenyah juga antara yang mementingkan maruah dan kehormatan di dalam keluarga dan tidak membenarkan anak perempuan hamil sebelum perkahwinan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram