
BERGOSIP sering kali dipandang buruk, namun berbicara tentang orang lain atau situasi di sekeliling bersama rakan ternyata dapat memberi kesan positif sekiranya dilakukan secara berhemah.
Bukan sekadar berbual kosong, sebaliknya ia mampu mengukuhkan hubungan, meningkatkan kesihatan emosi serta menambah baik kemampuan bersosial seseorang.
Berdasarkan laporan agensi, terdapat lima kelebihan yang tidak disedari ketika sedang berkomunikasi bersama rakan.
BACA LAGI: Duduki carta ke-93, Yahya antara nama bayi lelaki Islamik paling popular di UK
Perbualan santai bersama rakan meredakan tekanan. — Agensi
1. Mengukuhkan hubungan sosial
Berkongsi cerita atau pandangan tentang sesuatu perkara kenalan bersama mampu mewujudkan rasa keterhubungan dan kepercayaan.
Perkongsian tersebut sering membina keakraban dan memperkukuhkan ikatan persahabatan kerana rahsia atau pandangan yang dikongsi dianggap tanda keintiman.
2. Saluran meluahkan emosi
Selain itu, gosip juga menjadi medium melepaskan tekanan.
Berkongsi pengalaman atau rasa tidak puas hati dengan rakan dapat membantu meredakan kebimbangan serta meningkatkan kesejahteraan mental.
Ia pada masa sama memberi ruang untuk meluahkan perasaan tanpa menjejaskan hubungan secara langsung.
3. Meningkatkan kesedaran sosial
Mendengar dan menyertai perbualan tersebut turut membantu individu memahami dinamik sosial dan tingkah laku manusia.
Pemerhatian terhadap cara orang lain berfikir serta bertindak boleh menambah empati serta kecerdasan sosial, sekali gus membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan peribadi mahu pun profesional.
4. Bertukar pandangan dan nasihat
Tidak semua gosip bersifat negatif, sebaliknya ia kadangkala menawarkan perspektif baharu.
Melalui perkongsian dan pengalaman, seseorang boleh memperoleh pandangan, cadangan atau penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
5. Wujud suasana ceria
Gosip santai yang menghiburkan pula berupaya mencetuskan suasana ceria.
Ia bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah mencipta kenangan manis yang menyumbang kepada kebahagiaan.
Kajian mendapati ketawa bersama melepaskan hormon endorfin yang meningkatkan rasa gembira.
Secara keseluruhan, gosip yang disampaikan secara positif, berhemah dan membina dapat mengeratkan hubungan persahabatan yang lebih bermakna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram