Majlis kahwin bertukar jadi pengebumian, pengantin lelaki hilang 24 ahli keluarga sekelip mata dihanyut banjir


  • Cinta
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Noor Muhammad sayu usai pemergian ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi banjir di kediamannya baru-baru ini.  — Agensi

SABAN tahun, musim monsun membawa risiko bencana besar di Pakistan dengan banjir kilat dan hujan lebat telah meragut ratusan nyawa serta memusnahkan kediaman penduduk. 

Namun, bagi seorang pemuda kelahiran Buner, Pakistan, tragedi banjir kali ini bukan sahaja meranapkan kampung halamannya, malah meragut hampir seluruh ahli keluarganya hanya beberapa hari sebelum perkahwinannya berlangsung.

Noor Muhammad, 25, yang bekerja sebagai buruh di Malaysia, baru sahaja pulang ke kampung halamannya di daerah pergunungan Buner, pada 15 Ogos lalu.

BACA LAGI: 'Biar aku bodoh, asal anak aku pandai', kata ibu pembakar semangat, terima biasiswa Chevening sambung belajar di Universiti Oxford

BACA LAGI: Letak syarat 'tebuk' surah Al Baqarah, Dr Asyraf tunai janji beri telefon pintar baharu buat anak perempuan

Namun, kepulangannya yang sepatutnya disambut meriah bertukar tragedi apabila keluarganya dilaporkan terkorban dalam bencana banjir yang melanda kawasan kediamannya.

Lebih 24 upacara pengebumian diadakan pada hari kejadian termasuklah pemergian ibunya, abang dan kakaknya yang antara meninggalkan memori pahit buatnya.

"Semuanya telah selesai, banjir datang, ia menghanyutkan segala-galanya termasuk rumah, ibu, kakak, abang, bapa saudara, datuk, malah anak-anak saudara saya," katanya sebak.

Rumah musnah, keluarga terkorban

Rumah keluarganya yang dilengkapi 36 buah bilik di kampung Qadir Nagar, Bunar musnah selepas dihentam arus banjir deras yang membawa batu, lumpur dan serpihan dari pergunungan. 

Daripada 28 ahli keluarga dan saudara mara yang tinggal bersama, hanya empat yang dilaporkan masih terselamat usai kejadian tersebut.

Dalam pada itu, ayah dan seorang lagi abangnya terselamat kerana sedang menjemput Muhammad di lapangan terbang ketika kejadian, manakala tunangnya juga dalam keadaan baik ekoran kawasan kediamannya yang kurang terjejas.

Banjir monsun terburuk

Setakat ini, banjir besar di barat laut Pakistan sejak 15 Ogos itu sudah meragut hampir 400 nyawa, termasuk lebih 200 orang di daerah Buner.

Fenomena luar biasa itu berpunca daripada letusan awan yang menyebabkan hujan lebat lebih 150 milimeter dalam tempoh sejam, menjadikannya antara kejadian paling dahsyat pada musim tengkujuh tahun ini.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA), jumlah keseluruhan korban banjir monsun di seluruh Pakistan sejak akhir Jun kini mencecah 776 orang, dengan lebih 25,000 mangsa berjaya diselamatkan.

Dalam pada itu, pasukan tentera darat dan udara turut dikerahkan ke lokasi untuk operasi menyelamat.

Isyarat perubahan iklim

Pakar menjelaskan fenomena hujan lebat yang berpanjangan serta letusan awan jarang berlaku itu semakin kerap muncul akibat perubahan iklim dan pemanasan global. 

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa dua lagi kitaran monsun dijangka melanda sehingga 10 September sekali gus meningkatkan risiko bencana lebih besar.

Akur dengan dugaan dihadapi, Noor Muhammad terpaksa merelakan pemergian ahli keluarganya dan melupakan majlis perkahwinannya walaupun sudah lama dirancang.

"Apa lagi yang boleh saya katakan? Ini ketentuan tuhan," katanya dengan linangan air mata mengakhiri perkongsian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram