
BIASISWA antarabangsa menjadi impian ramai pelajar yang bercita-cita melanjutkan pengajian ke luar negara, apatah lagi di universiti terkemuka dunia seperti Universiti Oxford di London.
Namun, persaingan yang sengit dan jumlah permohonan mencecah puluhan ribu menjadikan peluang itu hanya dinikmati mereka benar-benar layak.
Daripada lebih 90,000 permohonan biasiswa Chevening tahun ini, hanya 35 penerima dari Malaysia dipilih untuk melanjutkan pengajian di United Kingdom.
BACA LAGI: Serene Williams berjaya turun berat badan lebih 14kg, ambil suntikan GLP-1, kembali bertenaga
Antara insan bertuah ialah Azida, yang bakal menyambung pengajian dalam bidang Antropologi Sosial di Oxford bagi tahun akademik 2025/26.
Di sebalik kejayaan dikecapi, individu bertuah itu mendedikasikan pencapaiannya khas buat ibu yang telah banyak berkorban.
"Biar aku bodoh, asalkan anak aku pandai".
Ungkapan itu menurut Azida, menjadi sumber kekuatan yang sentiasa mengingatkan dirinya tentang erti sebenar ilmu dan kejayaan.
Lebih menyentuh hati, Azida berpeluang membawa ibunya ke Majlis Anugerah Biasiswa Chevening, sebagai tanda penghargaan atas doa, pengorbanan dan kesungguhan yang tidak ternilai.
"Ibu mungkin tidak pernah mengecap pendidikan tinggi, tetapi kebijaksanaan dan keberanian beliau membesarkan saya adalah sesuatu yang tidak mampu saya pelajari di sekolah atau universiti," kongsinya di laman Threads.
Azida (kanan) menganggap ibunya tulang belakang di sebalik kejayaan dikecapi.
Malaysia antara penerima terbesar Asean
Sejak diperkenalkan, Malaysia telah melahirkan lebih 2,000 alumni Chevening yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor. Negara ini juga merupakan penerima kedua terbesar anugerah Chevening di Asean.
Kerajaan UK dalam kenyataannya baru-baru ini menegaskan mereka sentiasa mengalu-alukan pelajar antarabangsa, termasuk dari Malaysia dan permohonan bagi biasiswa Chevening sesi akan datang kini dibuka sehingga 7 Oktober 2025.
Maklumat lanjut mengenai proses permohonan boleh diperoleh di laman rasmi www.chevening.org/malaysia.
Kisah Azida bukan sahaja menggambarkan kejayaan anak Malaysia di pentas antarabangsa, tetapi juga bukti bahawa pengorbanan seorang ibu mampu melahirkan generasi berilmu yang membawa nama negara ke persada dunia.
Dengan peluang yang dibuka melalui biasiswa Chevening, lebih ramai anak muda Malaysia diharap dapat mengikuti jejak langkah itu bukan sahaja untuk mengejar impian peribadi, tetapi untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dan tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram