
SEKADAR mengisi masa lapang, bapa kepada remaja autisme yang terkenal melalui saluran Adamautismefamily, Iman Wan Tuck Meng tidak menjangkakan lagu dihasilkan mendapat tempat di hati pendengar Indonesia.
Karya berjudul Syurga Itu Mahal yang dicipta khas buat anaknya meraih lebih 16,000 pendengar dari Indonesia hanya dalam tempoh kurang dua minggu.
Akui dirinya bukan selebriti mahupun penyanyi popular, bapa kepada tiga cahaya mata itu walau bagaimanapun meluahkan rasa gembira apabila lagu tersebut menjadi fenomena di negara seberang.
BACA LAGI: 'Aku tak mahu mimpi ini berakhir', arwah abang Uyaina muncul berbaju Melayu putih imamkan solat
Iman Wan (tiga dari kanan) merupakan bapa kepada tiga orang anak.
Pengorbanan bapa
Iman Wan yang sebelum ini pernah bekerja dalam industri muzik sebagai seorang pengarah pemasaran, meninggalkan kerjaya korporat itu untuk memberi sepenuh tumpuan kepada anaknya, Adam yang menghidap autisme.
Mengorbankan seluruh hidupnya demi masa depan anaknya, Iman sering berkongsi kisah keluarganya melalui vlog Adamsautismefamily, yang kini sudah mempunyai ratusan ribu pengikut di laman sosial.
Lagu Syurga Itu Mahal difahamkan lahir sebagai wadah untuk menggambarkan erti pengorbanan, kesabaran dan kasih sayang ibu bapa dalam membesarkan anak-anak istimewa.
Merupakan karya ciptaan Iman Wan, lagu itu walau bagaimanapun dinyanyikan oleh seorang penyanyi berbakat Indonesia, Dimas Titis yang berjaya membawa emosi mendalam melalui vokalnya.
"Mempunyai lebih 16,000 pendengar dalam 12 hari selepas Syurga Itu Mahal dilancarkan adalah sesuatu yang mengagumkan.
"Tetapi saya agak terkejut juga kerana 80 peratus daripadanya datang dari Indonesia tapi kami tidak boleh capai 1,000 pendengar dari Malaysia," katanya menerusi laman Threads.
Latar belakang keluarga Adamsautismefamily
Keluarga tersebut cukup dikenali ramai menerusi saluran YouTube dan media sosial yang menampilkan kehidupan seharian mereka bersama Adam, seorang anak istimewa dalam spektrum autisme.
Pendekatan terbuka itu menjadikan keluarga berkenaan sebagai sumber inspirasi kepada ribuan pengikut, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga antarabangsa.
Iman kini terus aktif menulis dan berkarya di samping meneruskan tanggungjawab sebagai seorang bapa yang juga secara tidak langsung meningkatkan kesedaran autisme melalui platform digital. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram