Kurang kasih sayang nenek, suami panas baran, anak dedah punca ibu bertahun derita sakit mental


  • Bonda
  • Khamis, 21 Ogos 2025

Antara tanda awal sakit mental dialami ibunya termasuk sering berfikiran negatif dan lebih suka menyendiri. — Gambar janaan AI

SEORANG anak berkongsi kisah mengenai ibunya yang berpuluh tahun menghidap pelbagai penyakit mental termasuk kemurungan, skizofrenia dan bipolar.

Menurutnya, perkongsian yang dimuat naik menerusi akaun TikTok Duriflorist itu adalah sebagai usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa sakit mental bukanlah aib dan bukan bermaksud gila.

Wanita itu berkata, ibunya kelihatan normal di mata orang luar, namun hakikatnya hanya keluarga yang benar-benar memahami keadaannya.

BACA LAGI: Sejuta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas hadapi kemurungan

BACA LAGI: Remaja boleh jadi pesakit mental jika habiskan masa 2 jam di media sosial setiap hari

“Alhamdulillah sekarang mak makan ubat di bawah rawatan pakar psikiatri dan perlu bergantung pada ubat seumur hidup untuk kekal stabil. 

"Rawatan lain sudah dicuba, tetapi ubat adalah jalan utama. Solat dan mengaji mak tetap tiptop, malah sentiasa awal waktu,” katanya menerusi ruangan kapsyen.

Ujarnya, antara tanda awal dialami ibunya termasuk sukar tidur malam, sering berfikiran negatif, cepat marah, mendengar bisikan suara yang tidak wujud dan lebih suka menyendiri.

"Mak lebih suka dengan dunia dia saja, tak suka bergaul dan bercakap dengan orang, sangat introvert dan rimas apabila berada di tempat orang ramai," katanya.

Lebih menyayat hati, si ibu rupa-rupanya membawa trauma sejak kecil akibat penceraian ibu bapa sejak dalam kandungan lagi. 

Jelas wanita itu, ibunya kemudian dibesarkan oleh nenek beliau dalam keadaan serba kekurangan. 

"Mak terpaksa bersaing dengan ibu saudara lain untuk mendapatkan kasih sayang neneknya.

"Mak pernah cerita, mak dah pakai baju kurung nak ikut neneknya pergi bandar naik bas, tapi mak tertidur dan nenek tinggalkan macam itu saja.

"Mak merajuk, duduk dalam reban ayam dengan harapan ada yang datang pujuk tapi hampa, sampai nak malam seorang pun tak datang," ceritanya.

Kongsi beliau lagi, kesannya terbawa sehingga dewasa dan bertambah rumit apabila melalui rumah tangga bersama suami panas baran, atas aturan keluarga.

Tambahnya, semua pengalaman tersebut menjadi faktor gangguan mental yang dialami ibunya hingga kini.

Meskipun begitu, wanita itu menegaskan bahawa penyakit mental bukanlah bermaksud seseorang itu gila, sebaliknya wujud kerana faktor kehidupan yang berpanjangan.

“Sekarang mak ada kami, anak-anak yang tetap sayang, percaya dan sentiasa utamakan mak. 

"Semoga ALLAH SWT meletakkan mak di tempat yang paling tinggi,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram