Remaja boleh jadi pesakit mental jika habiskan masa 2 jam di media sosial setiap hari


  • Sihat
  • Sabtu, 21 Jun 2025

Ibu bapa mengehadkan masa skrin anak-anak kepada tidak lebih dua jam sehari. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

REMAJA yang menghabiskan masa sehingga dua jam sehari melayari media sosial secara berlebihan, berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan mental seperti kebimbangan dan kemurungan.

Perkara itu didedahkan menerusi satu kajian neurosains berskala besar yang menunjukkan hubungan ketara antara penggunaan skrin secara pasif dengan peningkatan gejala psikiatri dalam kalangan remaja.

Kajian yang dijalankan selama sembilan bulan itu turut mendapati hampir separuh daripada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang isu kesihatan mental, kini menunjukkan tanda-tanda gangguan emosi dan tingkah laku.

BACA LAGI : Mulut berbau bukan biasa-biasa, petanda masalah dalaman — Pakar

BACA LAGI :  [VIDEO] Anak kerap mengadu sakit kepala? Awas! Mungkin ia petanda migrain

Profesor Emma Duerden

Lebih membimbangkan, peratusan itu meningkat secara drastik berbanding sebelum pandemik Covid -19, sekali gus mencerminkan krisis kesihatan mental remaja yang semakin memburuk di seluruh dunia.

Pengerusi Penyelidikan Kanada dalam bidang Neurosains dan Gangguan Pembelajaran, Profesor Emma Duerden menjelaskan bahawa corak penggunaan skrin yang berbeza memberi kesan berlainan terhadap perkembangan mental remaja.

Menurutnya, penggunaan skrin secara aktif seperti menghasilkan kandungan atau berinteraksi dengan rakan-rakan menunjukkan kesan yang jauh lebih rendah terhadap kebimbangan berbanding penggunaan secara pasif, iaitu hanya melihat atau melungsur kandungan tanpa sebarang interaksi bermakna.

"Kami dapati 45 peratus daripada remaja yang sebelum ini tiada sebarang masalah mental kini menunjukkan simptom kebimbangan dan kemurungan. 

"Ini amat membimbangkan," katanya seperti yang dilaporkan portal MailOnline.

Tambah Emma Duerden yang juga ketua kepada kajian tersebut, sebelum pandemik, kadar kebimbangan dalam kalangan remaja hanya berada antara lapan hingga 15 peratus. 

Namun kini, hampir separuh daripada kajian melaporkan golongan remaja ini mengalami gangguan emosi yang ketara.

Pola penggunaan ekstrem

Pendedahan berlebihan kepada kandungan digital yang tidak bermakna boleh membentuk corak otak yang menyumbang kepada masalah kawalan diri. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa ada dalam kalangan remaja yang menggunakan peranti digital sehingga 15 jam sehari. 

Mereka didapati memulakan hari dengan melihat skrin dan berterusan menggunakannya sepanjang hari.

"Ini adalah tempoh kritikal dalam pembentukan struktur dan fungsi otak remaja, termasuk kebolehan mengawal emosi dan impuls," jelasnya.

Emma Duerden berkata, pendedahan berlebihan kepada kandungan digital yang tidak bermakna boleh membentuk corak otak yang menyumbang kepada masalah kawalan diri, tumpuan dan membina hubungan sosial yang sihat.

Penggunaan skrin secara pasif juga dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku ketagihan dan ketidakstabilan emosi dalam kalangan remaja.

Menurut Emma Duerden lagi , remaja yang sering melihat kandungan yang ditapis dan diubah suai di media sosial cenderung membandingkan diri mereka dengan orang lain, menyebabkan harga diri merosot sekali gus menjadikan emosi menjadi tidak stabil.

Tegasnya, penggunaan skrin secara pasif memberi kesan langsung terhadap peningkatan kes kemurungan dan tekanan dalam kalangan remaja selepas pandemik.

Saranan kepada ibu bapa dan sekolah

Ibu bapa perlu memantau anak remaja mereka dan mewujudkan zon bebas peranti di rumah seperti di bilik tidur. — Gambar Hiasan/ Janaan Ai 

Susulan itu, Emma Duerden mencadangkan agar ibu bapa mengehadkan masa skrin anak-anak kepada tidak lebih dua jam sehari. 

Langkah itu dikatakan dapat meningkatkan kesejahteraan emosi dan kesihatan mental anak-anak.

Antara cadangan termasuklah mewujudkan zon bebas peranti di rumah seperti di bilik tidur dan semasa waktu makan bagi menggalakkan komunikasi keluarga dan membantu meningkatkan kualiti tidur.

Hasil daripada kajian itu turut menyarankan agar ibu bapa memperkenalkan aktiviti luar talian seperti membaca buku, bersenam, bersosial secara langsung dan melibatkan anak-anak dalam projek kreatif.

Institusi pendidikan juga disaran memainkan peranan lebih proaktif dengan memperkenalkan program literasi digital yang mampu mendidik pelajar tentang penggunaan teknologi secara sihat dan beretika.

Waktu tidur terganggu, simptom semakin teruk

Penggunaan skrin pada waktu malam boleh mengganggu kitaran tidur semula jadi remaja. — Gambar hiasan/ Janaan Ai

Dalam pada itu, kajian itu turut memberi amaran bahawa penggunaan skrin, khususnya pada waktu malam, boleh mengganggu kitaran tidur semula jadi remaja. 

Cahaya biru daripada skrin peranti mengganggu hormon tidur (melatonin) dan menyukarkan mereka untuk mendapat rehat yang mencukupi.

Gangguan tidur ini turut menyumbang kepada gejala kemurungan dan kebimbangan yang semakin serius dalam kalangan remaja.

Melihat kepada impak besar penggunaan skrin terhadap kesihatan mental remaja, Emma Duerden menekankan keperluan kajian lanjutan dan berterusan bagi memahami kesan jangka panjang teknologi digital terhadap otak dan tingkah laku remaja.

"Penemuan ini harus menjadi amaran penting kepada ibu bapa, pendidik dan penggubal dasar untuk mula menitikberatkan pendidikan kesejahteraan digital serta mengguna pakai pendekatan berasaskan bukti bagi melindungi kesejahteraan psikologi generasi muda," tegasnya.

Tambah Emma Duerden lagi, dengan dunia digital yang semakin berkembang pesat, pelaksanaan garis panduan yang jelas dan pendidikan teknologi yang seimbang dilihat sebagai langkah penting untuk memastikan remaja dapat membesar dalam persekitaran yang sihat secara mental dan emosi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram