
MENGESAN lokasi baik pasangan mahupun ahli keluarga kini dilihat sebagai langkah keselamatan yang wajar dilakukan dalam era ini.
Jika sebelum ini, fungsi aplikasi penjejak lokasi sering dikaitkan dengan usaha mengelakkan pasangan melakukan perkara negatif, namun hakikatnya ia juga membantu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini termasuk kematian mengejut.
Ia dapat dikaitkan dengan kes tular baru-baru ini melibatkan seorang lelaki mualaf yang baru sembilan hari memeluk Islam ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di Cyberjaya pada 19 Julai lalu.
BACA LAGI: Pendidik, aktivis wanita hijab pertama mara final pertandingan Mrs Singapore World 2025
Jeremy Mah Cih Wei Abdullah ditemui dalam keadaan badan sudah kaku dan sejuk.
Kes berkenaan juga menunjukkan betapa pentingnya keupayaan menjejak lokasi bagi mempercepatkan usaha mengesan individu yang tidak dapat dihubungi dalam tempoh tertentu.
Dengan kepelbagaian kemudahan digital, lokasi seseorang individu dapat dijejak secara pantas dan mudah iaitu menerusi telefon pintar.
Peranti GPS yang boleh mengesan lokasi seseorang dengan tepat.
1. Alat GPS mini
Penggunaan sistem posisi sejagat (GPS) sememangnya alternatif utama bagi menjejak lokasi seseorang di lokasi tertentu.
Dengan inovasi baharu, alat GPS mini dapat digunakan bagi menentukan lokasi, arah dan kecepatan sesuatu objek dengan lebih tepat.
Alat tersebut juga boleh dilekatkan pada kereta, beg, dompet dan bahkan haiwan peliharaan.
Ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi dan boleh dihubungkan pada sistem GPS menerusi telefon pintar.
Aplikasi mudah dan boleh dikongsikan dengan beberapa kenalan.
2. Aplikasi Life360
Bagi individu yang mempunyai hubungan jarak jauh atau terpaksa berjauhan dengan keluarga, aplikasi Life360 sememangnya dapat membantu mengesan lokasi mereka.
Selain dapat mengesan lokasi, ia juga dapat berkongsi maklumatnya dengan kenalan lain dan membentuk kumpulan yang dipanggil 'Circle'.
Pengguna juga dikehendaki untuk mendaftar dan menyertai kumpulan sebelum diberi kod khas.
Lebih menarik, aplikasi tersebut mempunyai ciri membolehkan maklumat diberikan secara langsung kepada anda sekiranya ada ahli keluarga atau pasangan tidak pulang ke rumah pada waktu tertentu.
Aplikasi itu hadir dengan ciri pengesanan pemanduan dan akan memberi amaran sekiranya berlaku kemalangan.
Ciri pengesanan lokasi di aplikasi WhatsApp.
3. Aplikasi WhatsApp
WhatsApp sememangnya aplikasi yang tidak asing lagi dalam kelompok pengguna seluruh kategori telefon pintar.
Selain menjadi penghubung dua hala dalam rangkaian komunikasi yang besar, WhatsApp juga ternyata mempunyai ciri pengesanan lokasi.
Untuk mengesan lokasi sesesorang, kenalan atau ahli keluarga pengguna perlu berkongsikan lokasi mereka di WhatsApp terlebih dahulu.
Caranya juga amat mudah iaitu dengan menekan simbol tambah di papan pemuka dan pilih 'lokasi', 'kongsi lokasi secara langsung' kepada pasangan atau ahli keluarga.
Lokasi anda juga boleh ditetapkan untuk dikongsikan sama ada dalam tempoh 15 minit, satu atau lapan jam.
Cara tersebut kerap digunakan oleh seseorang yang pulang lewat malam atau berada di lokasi sunyi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram