Bermodalkan RM100, suri rumah hasilkan 'doorgift' comel, ringkas tapi tetap eksklusif


  • Bisnes
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Nuraihan mula mengasas Cruf.co bermula Mei lalu dan mempunyai tiga rangkaian produk utama.

 

 

RINGKAS tetapi eksklusif, itulah konsep yang diterapkan dalam setiap cendera hati atau doorgift dihasilkan di Cruf.co.

Jenama tersebut diasaskan oleh suri rumah sepenuh masa, Nuraihan Kassim dan beroperasi dari kediamannya di Melaka.

Pernah berkhidmat di sebuah syarikat automotif terkemuka selama empat tahun, wanita berusia 36 tahun itu mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada penghujung 2017 demi memberi fokus kepada keluarga.

BACA LAGI: Dulu pekerja kilang, ibu 3 anak kini tauke produk kecantikan, semuanya angkara bulu mata palsu

BACA LAGI: Bekas pramugara kini pemilik kedai Nasi Lemak Ayam Taliwang, jual cecah hampir RM15,000 sehari

Cendera hati ringkas tetapi masih kelihatan eksklusif.

Walaupun beralih status daripada wanita bekerjaya kepada suri rumah, minatnya terhadap dunia perniagaan tidak pernah pudar.

Daripada dekorasi rumah hingga menjual makanan, Nuraihan akhirnya nekad memulakan perniagaan cendera hati majlis.

"Idea ini sebenarnya datang daripada adik, kebetulan memang saya juga sukakan pembungkusan yang comel.

"Jadi, sejak itu saya mula ambil tempahan doorgift dengan bermodalkan RM100," katanya kepada Majoriti.

Meskipun baru tiga bulan beroperasi, namun produknya mendapat sambutan hangat sehingga ke Brunei dan Singapura.

Katanya, perniagaannya juga beroperasi secara dalam talian dan penghantaran menerusi perkhidmatan kurier dan logistik sedia ada.

Kad coklat antara produk yang dihasilkan Nuraihan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, segala persiapan dalam menghasilkan setiap produknya dilakukan olehnya sendiri tanpa pembantu.

"Setakat ini produk saya ada tiga jenis iaitu kad coklat, cendera hati kotak lilin dan jem buah manis.

"Mula daripada hiasan, ikat reben, tulis kad, bungkus coklat sehingga penghantaran saya buat sendiri di rumah.

"Jadi, jika ada tempahan banyak dan lebih 100, saya akan buat awal lima bulan sedikit demi sedikit setiap hari.

"Sebab nak ikat reben pada kad pun ambil masa dua jam juga," jelasnya.

Boleh dikategorikan sebagai usahawan kecil, memasarkan jenama Cruf.co merupakan antara cabaran terbesar bagi Nuraihan.

Nuraihan juga aktif menghasilkan konten memperkenalkan produk dan perniagaannya di media sosial seperti TikTok, Instagram, Facebook dan WhatsApp.

 

 

 

 

Masih menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, Nuraihan tidak menafikan ia sedikit sebanyak menggangu emosinya untuk menstabilkan perniagaannya.

"Saya buat bisnes ini sebab nak ada pendapatan sendiri, boleh bantu mak, ayah, bahagiakan anak-anak dan ringankan suami.

"Bila rasa sedih, cepat-cepat saya bayangkan wajah mak, ayah, anak-anak dan semangat itu akan naik semula," ujarnya.

Walaupun beroperasi secara kecil-kecilan, Nuraihan tetap menjaga kualiti produk.

Cruf.co juga menghasilkan cendera hati berasaskan sabun.

Setiap coklat yang digunakan dipastikan sesuai untuk dihantar kepada pelanggan di luar Melaka.

"Buat masa ini, pelanggan sekitar Melaka boleh pilih untuk cash on delivery (COD), manakala luar kawasan saya akan pos.

"Tempahan semua menggunakan sistem deposit 50 peratus untuk beli bahan, selebihnya dibayar selepas produk siap.

"Coklat biasanya tak akan terlalu cair kalau dipos asalkan ia tidak terlalu terdedah pada matahari," katanya.

Tambahnya, melihat jenamanya berkembang dan dikenali ramai, Nuraihan memasang impian untuk menambah rangkaian serta variasi produknya.

Cendera hati yang ditawarkan turut sesuai untuk majlis perkahwinan, acara sekolah dan perayaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram