
PENDIDIK dan aktivis Singapura, Nur Hidayah Eser melakar sejarah dalam dunia fesyen antarabangsa apabila diumumkan wanita berhijab pertama berjaya melangkah ke peringkat akhir pertandingan ratu cantik Mrs Singapore World 2025.
Selain berkhidmat dalam bidang pendidikan lebih 15 tahun, wanita berusia 39 tahun itu juga aktif melakukan kerja sukarelawan dalam membantu belia berisiko, keluarga berpendapatan rendah dan pesakit demensia.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, antara sumbangannya termasuklah bersama Persatuan Kebajikan Wanita Asia (AWWA) dan Institut Kesihatan Mental (IMH).
Nur Hidayah (tiga dari kanan) berjaya mara ke peringkat akhir. — Mrs Singapore World
Menurut ibu kepada dua anak itu, penyertaannya juga membawa makna simbolik khususnya bagi wanita bertudung dalam pertandingan ratu cantik itu di Singapura.
"Saya amat bersemangat dalam mencipta kesedaran tentang kesihatan mental dan sepanjang kerjaya, saya membangunkan program serta sumber untuk membantu mereka yang memerlukan.
"Sebagai wanita Muslim, saya berasa bangga dapat mewakili budaya dan kepercayaan saya sambil menunjukkan bahawa busana sopan mempunyai tempat tersendiri di dunia peragaan," katanya.
Penyertaannya pada masa sama dapat dijadikan sebagai inspirasi kepada wanita lain untuk mencapai cita-cita mereka.
Melihat perkembangan positif dalam dunia peragaan, Presiden ERM Singapore Marketing Pte Ltd, Angela Tay, tidak menafikan bahawa setiap wanita diraikan tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.
"Dunia telah berubah, begitu juga pertandingan ratu cantik. Kami percaya untuk menjadi inklusif perlu menghormati pelbagai budaya dan kepercayaan.
"Dengan membenarkan pilihan fesyen yang sederhana, seperti burkini Muslimah, kami memastikan setiap wanita boleh mengambil bahagian dengan yakin sambil mengekalkan nilainya.
"Penyertaan Nur Hidayah ialah cerminan komitmen dan kenyataan itu," jelasnya daripada syarikat penganjur pertandingan tersebut.
Sementara itu, Nur Hidayah antara peserta terpilih dalam 10 finalis yang akan mara ke pusingan akhir pada 20 September di Orchid Country Club, Singapura.
Menggalas gelaran itu sebagai satu penghormatan dan tanggungjawab besar, pencapaian Nur Hidayah cukup mencerminkan keperibadian, iman, nilai, dan identitinya.
Pihak penganjur turut dipuji apabila bertindak menyediakan ruang beribadah dan menghormati waktu solat sepanjang acara.
Baginya, pertandingan tersebut bukan sekadar menilai kecantikan, tetapi turut memberi peluang kepada para wanita untuk menyuarakan pendapat, memperjuangkan hak serta mempertingkatkan kesedaran isu-isu penting. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram