Ini punca hubungan adik-beradik dulu bahagia makin renggang lepas ibu bapa meninggal dunia


  • Bonda
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Hubungan adik-beradik yang renggang sering terjadi selepas pemergian ibu bapa. — Gambar hiasan

HUBUNGAN adik-beradik dahulunya mesra boleh berubah dan menjadi renggang dalam sekelip mata terutama selepas pemergian ibu bapa.

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapa dan bagaimana ia terjadi.

Menurut pakar psikologi, Dr. Mahidah Abdul Wahab, hampir 90 peratus situasi adik-beradik berhenti berhubung setelah ibu bapa meninggal dunia.

BACA LAGI: Serlah identiti Malaysia, ini 5 jenama tempatan patut disokong menjelang Merdeka

BACA LAGI: Dulu pekerja kilang, ibu 3 anak kini tauke produk kecantikan, semuanya angkara bulu mata palsu

Hubungan yang dahulunya mesra boleh berubah sekelip mata. — Gambar hiasan

Katanya, ia bukan sekadar berpunca daripada isu harta pusaka seperti yang sering digembar-gemburkan.

"Ramai keluarga berpegang pada kepercayaan bahawa ikatan darah sudah memadai untuk kekal rapat.

"Namun, realitinya, apabila ibu bapa yang selama ini berperanan sebagai 'pengikat' dan pengatur hubungan tiada lagi, kebanyakan adik-beradik menyedari mereka sebenarnya hanya berada dalam 'orbit' sama bukan benar-benar sebagai satu pasukan.

"Tiba-tiba kumpulan WhatsApp senyap, hari lahir berlalu tanpa kata-kata dan anda tertanya-tanya bila semuanya terjadi," kongsinya di Threads.

Beliau mendedahkan, kehilangan ibu bapa bukan sahaja menghilangkan pusat tumpuan keluarga, malah meruntuhkan tradisi yang selama ini menyatukan.

Jamuan makan malam setiap minggu, gurauan bapa, berkumpul setiap kali perayaan dan semua tradisi tersebut akan lenyap bersama pemergian insan tersayang.

Tambahnya, ketiadaan ibu bapa membuatkan anak-anak berfikir bahawa tiada sebab untuk mereka bertemu di luar nostalgia itu.

"Pembunuh senyap? 'Anak emas' tetap ada, yang 'anak bermasalah' akan dilayan seperti liabiliti.

"Peranan-peranan ini boleh ditangani dengan keberadaan ibu untuk meredakan keadaan.

"Namun, tanpa dia, setiap kebencian yang tidak terucap terus membesar dan ia bukan peperangan.

"Ia terus membeku dalam hubungan adik-beradik dan perlahan sehingga wujudnya seperti individu asing," jelasnya.

Beliau bagaimanapun menekankan masih ada jalan untuk mengekalkan kemesraan antara adik-beradik.

Antaranya adalah dengan mewujudkan tradisi baharu seperti pertemuan bulanan, setiap hari Jumaat, percutian tahunan atau sekadar berbual dalam kumpulan WhatsApp dengan lebih bermakna.

"Jangan tunggu sehingga terlambat. Jika dibiarkan, jarak itu akan menjadi kekal.

"Ia bukan tentang siapa betul atau salah, siapa berhutang dengan siapa yang menghubungi sesama mereka.

"Tetapi ia tentang sama ada anda mahu berada dalam 10 peratus yang kekal rapat atau 90 peratus bertemu semula pada hari pengebumian," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram