[VIDEO] Simbolik di sebalik aksi berani gabenor sarung kostum ikan duyung sambil kibar bendera di dasar laut


  • Sukses
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Syerly Tjoanda menyelam dengan kostum ikan duyung sambil mengibarkan bendera di laut Sulamadaha, Kota Ternate, Maluku Utara. — Agensi

SAMBUTAN Hari Ulang Tahun (HUT) ke-80 Republik Indonesia di Maluku Utara yang berlangsung dengan cara unik mencuri perhatian ramai.

Biasanya, upacara mengibarkan bendera merah putih dilakukan di padang istiadat atau perkarangan pejabat kerajaan.

Bagaimanapun, kali ini upacara tersebut dilakukan di dalam dasar laut Sulamadaha, Kota Ternate, Maluku Utara.

BACA LAGI: BCL bangga Noah pimpin upacara kemerdekaan Indonesia di sekolah, serlah sifat kepimpinan

BACA LAGI: Serlah identiti Malaysia, ini 5 jenama tempatan patut disokong menjelang Merdeka

Lebih menarik apabila bendera itu dikibarkan sendiri oleh Gabenornya, Sherly Tjoanda dengan mengenakan kostum ikan duyung.

Aksi berani Sherly bukan sahaja menjadi tarikan visual, malah simbol penting untuk memberi kesedaran tentang peranan manusia dalam melindungi laut sebagai sumber kehidupan negara.

"Upacara Hari Kemerdekaan Indonesia ke-80 di bawah air adalah peringatan bahawa perhatian kita terlalu tertumpu di darat.

"Namun, 70 peratus wilayah Indonesia adalah laut, termasuk Maluku Utara.

"Jadi, mengibarkan bendera di darat hanya mewakili 30 peratus," katany sebelum mengibarkan bendera.

Sherly menegaskan bahawa laut bukan sekadar hamparan air, tetapi juga sumber ekonomi, ruang hidup dan warisan negara yang mesti dilindungi bersama.

"Memilih laut sebagai lokasi pengibaran bendera melambangkan pembangunan dan pemuliharaan laut perlu diutamakan," jelasnya.

Dengan mesej itu, pengibaran bendera merah putih di bawah laut Maluku Utara bukan sahaja sebagai upacara, tetapi juga kempen kesedaran untuk lebih mengambil berat tentang ekosistem marin.

Upacara bawah air itu diadakan melalui kerjasama antara Pemerintah Provinsi Maluku Utara dan Penyelam Wanita Indonesia (WASI) yang diketuai oleh Tri Tito Karnavian.

Seramai 100 penyelam mengambil bahagian, mencipta pemandangan yang luar biasa, bendera merah putih berkibar megah di dasar laut, diapit dengan panorama batu karang dan hidupan marin yang mempesonakan.

Menggantikan posisi suaminya, Benny Laos yang meninggal dunia selepas menjadi mangsa letupan kapal Bela 72 yang berlaku pada 12 Oktober 2024, Sherly berjaya memenangi undian terbanyak dan secara rasmi dilantik sebagai Gabenor Maluku Utara bagi tempoh 2025 hingga 2030.

Wanita berdarah Cina itu juga cukup aktif dalam sektor sosial dan berkhidmat sebagai Pengerusi Yayasan Bela Peduli yang memfokuskan aktiviti masyarakat termasuk membantu anak yatim. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram