[VIDEO] Tengku Zatashah realisasi impian kanak-kanak hidap leukemia limfoblastik jadi 'princess' di Istana Selangor


  • Sukses
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Tengku Zatashah merealisasikan impian kanak-kanak menghidap penyakit kritikal menerusi kempen Make-A-Wish Malaysia.

IMPIAN bergelar puteri raja akhirnya menjadi kenyataan apabila seorang kanak-kanak perempuan diraikan dalam sebuah acara di Istana Selangor baru-baru ini.

Momen penuh bermakna itu direalisasikan menerusi inisiatif Make-A-Wish Malaysia, diterajui Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah, puteri kepada Sultan Selangor yang terkenal dengan sifat prihatin dan aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan.

Kanak-kanak itu difahamkan sedang berjuang melawan penyakit leukemia dan lama memasang hajat untuk merasai pengalaman dan kehidupan di istana.

BACA LAGI: Terkejut keadaan anak saudara usia 2 tahun lebam, berbirat, pengasuh dikatakan sorok 10 jam sebelum hantar pulang ke rumah

BACA LAGI: [VIDEO] Konten uji kenal sayur dikritik, umpama 'buli' wanita secara halus tak mahir memasak

Dalam majlis penuh warna-warni itu, si cilik itu diraikan dengan pakaian gaun indah, mahkota berkilauan dan dekorasi ala istana persis kisah dongeng.

Kehadiran Tengku Zatashah menjadikan pengalaman tersebut lebih istimewa apabila 'puteri kecil' tersebut diraikan oleh kerabat diraja.

"Memenuhi impian ajaib di Istana Selangor untuk Make-A-Wish Malaysia Wish Child Aafiyah, 7, disahkan menghidap leukemia limfoblastik.

"Merupakan hari yang istimewa untuk mengacarakan Elsa Puteri Aafiyah, i love you so much little princess Aafiyah," kongsinya di laman Instagram.

Bukan kali pertama, seorang kanak-kanak yang juga menghidap penyakit kritikal neuroblastoma turut diraikan di Istana Selangor sekitar Disember tahun lalu.

Si cilik bertuah bernama Syaqila, 6, itu dihadiahkan beberapa patung barbie serta pakaian bertemakan puteri berwarna merah jambu yang turut dimeriahi dengan kehadiran seisi keluarganya.

Realisasi impian 

Make-A-Wish Malaysia merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan bagi merealisasikan impian kanak-kanak berusia antara tiga hingga 18 tahun yang sedang menghidap penyakit kritikal.

Sejak ditubuhkan pada 2010, organisasi itu telah membantu ratusan kanak-kanak di seluruh negara memenuhi pelbagai impian daripada bertemu idola, melancong hinggalah merasai pengalaman unik menjadi puteri raja untuk sehari.

Matlamat utama mereka adalah membawa harapan, kekuatan dan kegembiraan kepada kanak-kanak yang sedang berjuang melawan penyakit serius, sekali gus memberi semangat bukan sahaja kepada pesakit, malah keluarga mereka.

Usaha Make-A-Wish Malaysia bersama Tengku Zatashah ini membuktikan bahawa sedikit kasih sayang dan perhatian mampu memberi harapan besar kepada anak-anak yang sedang berjuang melawan penyakit kritikal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram