
SEBUT sahaja Didie Alias, masyarakat pastinya terimbau kembali deretan filem popular dan identiti pelakon tersohor itu yang cukup disegani industri hiburan tempatan.
Lebih tiga dekad bergiat aktif dalam dunia seni sejak 1991, pemilik nama sebenar Fadzilah Mohd Ali itu baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-52 tahun.
Dihujani ucapan daripada rakan-rakan artis dan peminat, anaknya, Nur Dhaniyah atau mesra disapa Niya turut tidak ketinggalan menitip kata-kata istimewa sempena hari bahagia ibunda tercinta.
BACA LAGI: [VIDEO] Tengku Zatashah realisasi impian kanak-kanak hidap leukemia limfoblastik jadi 'princess' di Istana Selangor
Menyifatkan ibunya sebagai sumber kekuatan dan panduan hidup, Niya yang mempunyai empat cahaya mata itu memuat naik beberapa foto bersama yang diabadikan sebagai kenangan manis satu ketika dahulu.
"Selamat ulang tahun ke-52 kepada wanita paling hebat dalam hidup saya, mummy saya. 20 foto tidak dapat menggambarkan betapa saya sayangkan awak kerana cinta saya untuk awak tidak berkesudahan.
"Terima kasih kerana menjadi kekuatan saya, guru saya, dan tempat selamat saya. Setiap saat, setiap doa, setiap pengorbanan, saya membawanya dalam hati selama-lamanya.
"Inilah tahun-tahun kesihatan, kebahagiaan bersama anak cucu dan keberkatan, kakak sayang awak lebih daripada kata-kata, lebih daripada gambar, lebih daripada segala-galanya," katanya menerusi laman Instagram.
Dalam pada itu, Niya menerusi hantaran berasingan di Threads turut menyatakan jarak usia dengan ibunya hanyalah 20 tahun kerana beliau dilahirkan setahun selepas Didie berkahwin.
Mengikut jejak ibunya yang mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun, anak bongsu daripada lima beradik itu juga berkahwin awal (22 tahun) dan berseloroh untuk tidak menambah bilangan anak buat masa ini.
"Ni mummy saya hehe 52 tahun dah umur dia tahun ni, dia kahwin muda umur 19 tahun, lahirkan Niya umur 20 tahun.
"So jarak kitorang 20 tahun senang nak ingat, korang dengan mak korang berapa tahun?
"Niya pun kahwin awal jugak umur 22 tahun harapnya beranak sampai takat ni jelah hahaha," ujarnya.
Sekadar info, Didie Alias atau nama sebenarnya Fadzilah Mohd Alias dilahirkan pada 1973 dan membesar di Negeri Sembilan.
Beliau pernah mendirikan rumah tangga bersama aktor popular, Allahyarham Ridzuan Hashim pada awal 1990-an, namun perkahwinan itu tidak berkekalan.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan lima orang cahaya mata dan Didie sering berkongsi momen bersama anak-anaknya di media sosial, menggambarkan hubungan rapat serta kasih sayang yang kekal utuh antara mereka.
Kini bahagia bersama suami, Norisham Ismail bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Dayyan sekali gus menjadi pelengkap dalam kehidupan keluarga besarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram