Bayi montel risiko alami diabetes, masalah jantung, comel tak semestinya sihat


  • Bonda
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Menurut Dr. Nadiah (gambar kecil) bayi tembam dan montel berisiko tinggi berdepan isu obesiti walaupun di peringkat awal. — Gambar hiasan/AI

PIPI tembam, lengan berlipat, paha gebu antara ciri-bayi montel yang sering mengundang rasa comel di kalangan masyarakat.

Bahkan, segelintir ibu bapa berasa bangga dan menganggap saiz montel itu sebagai tanda anak sihat dan cukup sifat dari segi kesihatan dan fizikal yang ironinya dipandang ringan ramai pihak.

Namun tanpa disedari, perkara itu sedikit sebanyak boleh menjurus risiko kesihatan dan perkembangan tidak normal seawal fasa bayi baru lahir.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Berbesar hati bersama-sama dalam penerbangan terakhir', bersara lepas 40 tahun jadi pramugari, anak sambung legasi ibu

BACA LAGI: Sulaman motif burung hiasi 'train' kebaya pengantin Sunda Melly Goeslaw, glamor sarat tradisi

Kajian menunjukkan, faktor berat lahir yang tinggi sering berkait rapat dengan pemakanan ibu semasa mengandung dan kecenderungan genetik. 

Pakar Perunding Doktor Perubatan Dalaman Dr. Nurul Nadiah berkata, bayi dengan berat badan berlebihan tidak semestinya sihat, malah berpotensi tinggi menghidap masalah seperti diabetes, penyakit jantung, obesiti dan tekanan darah tinggi apabila meningkat dewasa.

"Bayi 'comel' boleh jadi obesiti tidak normal dan jenis overweight, kita ada graf untuk rujukan. Situasi berlaku atas beberapa faktor genetik ataupun ibu alamai kencing manis ketika hamil.

"Bayi dan kanak-kanak semua ada risiko diabetes, jantung, maka bayi bermasalah obesiti sebahagian besar akan alami penyakit berkaitan jantung, maksudnya jantung mengembang sangat, sekali gus mengganggu perkembangan serta imuniti badan.

"Ada potensi untuk ia berlarutan hingga ke dewasa dan sangat mencabar untuk dikawal. Dengan cara pemakanan yang betul sahaja boleh kurangkan isu obesiti," katanya kepada Majoriti pada sesi perkongsian kesihatan obesiti di Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC), Klang, Selangor pada Rabu.

Baby feet in white bed. Selective focus.

Walau bayi montel sering dianggap comel, hakikatnya berat badan berlebihan pada usia kecil boleh memberi implikasi kesihatan yang serius jika tidak dipantau. 

Snek buah

Dalam pada itu, Dr. Nadiah turut mengulas trend pemberian produk snek dan makanan ringan bersumberkan buahan dan sayuran pada bayi lewat kebelakangan ini.

Jelasnya, perkara itu sering dipraktikkan golongan ibu bapa yang gemar membawa anak-anak bercuti ekoran sumber makanan sedemikian mudah disiapkan dan ringkas dibawa ke mana sahaja.

Akur dengan inovasi sektor pemakanan dan diet kanak-kanak masa kini, beliau walau bagaimanapun tegas menyatakan kepentingan serta peranan ibu bapa dalam memantau kandungan nutrisi snek diberikan.

"Sekarang semua benda dah boleh dapat di pasar raya, kononnya ia sihat tapi ibu bapa kena kawal jenis makanan diberikan pada anak-anak sebab apa, obesiti ni sangat kronik dan boleh dibawa ke dewasa.

"Bayangkan la lebih daripada 52 peratus populasi penduduk Malaysia adalah obesiti dan ini semua datang dari peringkat kanak-kanak, kita semua pernah jadi budak dan ia akan terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Apa sahaja makanan snek tu semua sudah diproses dan nutrisi tak sama macam yang asli, mungkin untuk travel dengan anak boleh, namun sebaik-baiknya elakkan," tambahnya.

Secara keseluruhannya, meskipun bayi montel sering dianggap sihat dan comel, hakikatnya berat badan berlebihan pada usia kecil awal boleh memberi implikasi kesihatan yang serius jika tidak dipantau. 

Ibu bapa disarankan untuk mendapatkan nasihat pakar, memastikan tumbesaran anak mengikut piawaian carta pertumbuhan dan mengamalkan pendekatan pemakanan yang seimbang sejak awal bagi melindungi anak daripada penyakit kronik di masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram