Terkejut keadaan anak saudara usia 2 tahun lebam, berbirat, pengasuh dikatakan sorok 10 jam sebelum hantar pulang ke rumah


  • Bonda
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Seorang kanak-kanak berusia dua tahun cedera pada bahagian muka dikatakan didera pengasuh di Shah Alam. — Gambar hiasan/Freepik

SEORANG wanita bagai diragut jantungnya apabila melihat anak saudaranya mengalami kesan lebam dan cedera pada muka dipercayai didera pengasuhnya di Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Kanak-kanak lelaki, Muhammad Ean Zafran, 2, dikatakan terlebih dahulu dibawa keluar bersiar-siar oleh individu berkenaan sebelum dihantar pulang ke rumah sekitar pukul 9.39 malam.

Namun, alangkah terkejutnya apabila melihat wajah budak tersebut dipenuhi kesan kemerahan didakwa dipukul selepas lebih 10 jam dibawa keluar tanpa izin.

BACA LAGI: Dari kilang ke karpet merah, fesyen 'jumpsuit' kekal relevan sejak 1950-an

BACA LAGI: [VIDEO] Konten uji kenal sayur dikritik, umpama 'buli' wanita secara halus tak mahir memasak

Menurut pemilik akaun, @zehrazhrx_, hancur luluh hati mereka sekeluarga sehingga tiada kata mampu menggambarkan betapa peritnya melihat anak saudara kesayangan, mesra disapa Ean Zafran dalam keadaan sedemikian.

"Anak kecil berusia dua tahun ini yang belum pun pandai bercakap, belum mengerti apa-apa tentang dunia, menjadi mangsa kekejaman manusia tiada hati dan perikemanusiaan.

"Semoga keadilan buat Ean Zafran ditegakkan dan semoga tiada lagi anak kecil menjadi mangsa sekejam ini," kongsinya di laman Threads pada Ahad.

Dalam pada itu, difahamkan keluarga kanak-kanak berkenaan sudah membuat laporan polis susulan kejadian tersebut.

Menerusi laporan polis dikongsikan dalam Threads tersebut kanak-kanak itu telah dihantar ke rumah pengasuh kira-kira pukul 10 pagi. Kesan lebam terbabit dikatakan berpunca tindakan suami pengasuh yang dikatakan tidak sengaja terpukul Ean Zafran.

"Ketika itu saya dapati terdapat kesan kemarahan di muka anak saya seperti dipukul, pengasuh pula memberi alasan ketika keluar rumah kedua anaknya bergaduh dan suami secara tak sengaja terpukul Ean Zafran," katanya.

Ketika disoal mengapa anaknya tidak dihantar pulang awal dan disorok lebih 10 jam, pengasuh terbabit mendakwa panik dan hanya menyedari kesan lebam tersebut sebaik kanak-kanak itu bangun daripada tidur.

Tangkap layar perbualan dengan pengasuh terbabit di WhatsApp.

Namun, identiti dan lokasi sebenar kediaman pengasuh tersebut tidak didedahkan pada hantaran berkenaan dengan kes itu kini difahamkan dalam pantauan pihak polis.

Belum ada kenyataan rasmi berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram