Pengusaha 'homestay' di Bukit Payong rugi lebih RM10,000, pokok landskap Paku Aji lesap dicuri


  • Hias
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Landskap tumbuhan hiasan di sebuah rumah inap desa hancur selepas beberapa batang pokok Paku Aji didakwa dicuri.

SEORANG pemilik rumah inap desa di Bukit Payong, Terengganu meluahkan rasa kecewa apabila pokok landskap jenis Paku Aji (Cycas revoluta) yang menghiasi kawasan penginapannya lesap dicuri individu tidak bertanggungjawab.

Pokok hiasan yang juga dikenali sebagai sago palm itu, bukan sahaja mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar, malah mempunyai nilai pasaran sangat tinggi sekitar RM500 hingga RM1,000 sebatang. 

Difahamkan, kerugian dianggarkan melebihi RM10,000 selepas lebih tujuh batang dicabut dan dilarikan dipercayai menggunakan sebuah lori sekitar minggu lalu.

BACA LAGI: Dari kilang ke karpet merah, fesyen 'jumpsuit' kekal relevan sejak 1950-an

BACA LAGI: Sulaman motif burung hiasi 'train' kebaya pengantin Sunda Melly Goeslaw, glamor sarat tradisi

Berkongsi hal itu di laman TikTok, pengusaha Singgah Tamu itu walau bagaimanapun reda dengan kejadian menimpanya selain berharap agar urusannya dipermudahkan selepas ini.

"Genap setahun sebulan landskap ni siap untuk mencantikkan Singgah Tamu untuk yang datang dapat brgambar dan menikmati ciptaannya.

"Hilang dicuri hamba ALLAH, tinggal kenangan semoga ada yang lebih baik untuk kami, tujuh pokok hilang mungkin yang datang tiga ke empat orang dengan lori," katanya.

Dalam pada itu, pokok Cycas semakin digemari dalam kalangan pengusaha landskap kerana tahan lasak dan bentuknya yang eksotik, namun harganya boleh mencecah ribuan ringgit menjadikannya sasaran pencuri.

Antara sebab utama harganya tinggi ialah tempoh pertumbuhan yang sangat perlahan. 

Bagi mendapatkan sebatang pokok bersaiz sederhana, ia boleh mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun, namun akibat bekalan yang terhad mendorong tumbuhan itu dijual pada harga tinggi.

Kelebihan Cycas tahan lasak, bentuk daunnya tersusun rapi dan tahan sepanjang tahun menjadikannya pilihan ideal untuk menghiasi rumah mewah, hotel, resort dan homestay.

Dengan nilai pasaran tinggi dan permintaan sentiasa menggalakkan, tidak hairanlah pokok Paku Aji sering menjadi sasaran pencuri yang melihat ia sebagai satu bentuk cagaran demi kepentingan sendiri.

Bagi pemilik homestay atau penggemar landskap, kehilangan tanaman itu bukan sekadar kerugian wang ringgit, tetapi juga merampas nilai estetik dan tarikan yang telah lama diusahakan sekali gus menjejaskan pendapatannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram