
DALAM dunia moden hari ini, memasak bukan lagi dianggap kemahiran khusus wanita semata-mata.
Ramai lelaki kini tampil bergelar cef profesional, malah tidak kurang juga suami atau bapa mahir menyediakan hidangan seisi keluarga yang lazimnya dilakukan golongan suri rumah sebelum ini.
Namun, di sebalik normalisasi peranan itu, segelintir individu khususnya pempengaruh media sosial dipercayai sengaja mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut.
BACA LAGI: Dari kilang ke karpet merah, fesyen 'jumpsuit' kekal relevan sejak 1950-an
BACA LAGI: Lakonan bukan lagi keutamaan, Bella Dally teroka dunia fesyen melalui jenama pakaian Weardallydaily
Baru-baru ini, laman sosial dibanjiri komen warga maya yang kurang senang dengan sebuah video dimuat naik didakwa cuba merungkai kelemahan wanita dalam dunia masakan.
Malah, ada berpendapat video sedemikian seolah-olah cuba menonjolkan kekurangan wanita dan akhirnya membawa kepada budaya 'membuli' secara halus.
"Sorry lah, saya sangat tak bersetuju dengan video jenis macam ni, try hard nak nampak kelemahan orang lain. Dulu sebelum kahwin, saya pun tak reti masak tapi sekarang, bukan setakat masak, baking pun boleh," kata reena.mastura di laman Threads.
Tambahnya lagi, menghasilkan video memaparkan wanita keliru mengenal sayur kemudian dibandingkan pula dengan lelaki kononnya lebih tahu hanya mengundang persepsi tidak adil.
"Tak ke rasa macam tengah buli perempuan tu? Sekali dua buat mungkin okay tapi kalau terlalu beria pun tak elok," ujarnya.
Tidak dinafikan, video berbentuk eksperimen sosial ataupun kuiz spontan kian mendapat tempat di hati penonton khususnya generasi muda namun, kandungan sedemikian seharusnya lebih peka terhadap mesej dan pengajaran disampaikan berbanding bahan tawa semata-mata.
Apatah lagi jika ia boleh memperkukuh stereotaip bahawa wanita sepatutnya pandai memasak sedangkan realitinya kemahiran itu bukanlah ukuran utama dalam menentukan peranan atau nilai seseorang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram