
TIDAK hanya bergelar wanita terkaya dunia, Alice Walton turut mempamerkan sikap terpuji apabila membina sebuah sekolah perubatan khas di negeri kelahirannya, Arkansas, Amerika Syarikat (AS).
Pewaris utama syarikat peruncitan Walmart dengan nilai kekayaan bersih dianggarkan sekitar AS$101 bilion (RM471 bilion) itu turut menanggung sepenuhnya yuran pengajian lima kumpulan graduan pertama dan komuniti terabai.
Terletak di dalam kampus sama dengan Muzium Seni Amerika Crystal Bridges di Bentonville, Sekolah Perubatan Alice L. Walton (Awsom) dibangunkan dengan misi mengubah landskap pendidikan perubatan di negara terbabit.
BACA LAGI: Sulaman motif burung hiasi 'train' kebaya pengantin Sunda Melly Goeslaw, glamor sarat tradisi
Sekolah berkenaan menekankan konsep kesihatan menyeluruh dengan fokus utamanya mencegah penyakit sebelum gejala muncul.
Program ijazah kedoktoran di Awsom merangkumi modul kesihatan mental, pilihan gaya hidup sihat dan penjagaan diri untuk memastikan pelajar mampu menjaga kesihatan diri sambil merawat pesakit.
Selain itu, bidang seni turut menjadi salah satu komponen utama di sekolah berkenaan bagi meningkatkan kemahiran dan kreativiti generasi doktor akan datang.
Idea penubuhan sekolah itu tercetus daripada pengalaman peribadi Walton yang sebelum ini pernah terlibat dalam kemalangan kereta di Mexico.
"Melukis cat air dan membaca buku seni menjadi kunci pemulihan saya dan saya percaya dunia seni serta penjagaan kesihatan perlu bersama kerana kedua-duanya saling memberi manfaat," katanya.
Bangunan Awsom seluas 154,000 kaki persegi direka oleh firma seni bina Arkansas, Polk Stanley Wilcox.
Bahagian luar bangunan itu dihiasi pemandangan hutan sekeliling bertujuan memaksimumkan cahaya semula jadi buat seluruh warga sekolah tersebut.
Fasiliti itu turut menempatkan 90 spesies tumbuhan asli, termasuk puluhan pokok yang ditanam di kawasan sekeliling pusat pengajian perubatan berkenaan.
Majlis pelancaran Awsom pada 18 Julai lalu menyaksikan seramai 48 pelajar pertama terpilih daripada lebih 2,000 pemohon dan pada minggu pertama pengajian, mereka telah menjalani latihan asas serangan jantung, selain terlibat dalam pelbagai program khidmat masyarakat serta pusat perlindungan kanak-kanak.
Walton dalam masa sama berharap Awsom dapat memberi impak besar kepada komuniti tempatan, khususnya Arkansas yang berada di tangga ke-48 daripada 50 negeri di AS dari segi kesihatan dewasa.
Tersenarai TIME100 Health 2025
Majalah TIME mengiktiraf Walton sebagai antara 100 figura berpengaruh dunia dalam membentuk masa depan kesihatan dunia.
Walton, 75, menerima pengiktirafan itu susulan sumbangan besarnya dalam mengubah cara masyarakat melihat penjagaan kesihatan.
Melalui Awsom dan inisiatif Heartland Whole Health Institute, beliau mengasaskan pelbagai projek yang menekankan konsep penjagaan kesihatan menggabungkan rawatan perubatan dan gaya hidup sihat.
Senarai TIME100 Health mula diperkenalkan sebagai cabang khusus daripada senarai tahunan TIME100, dengan fokus pada individu yang mendorong perubahan besar dalam bidang kesihatan, termasuk inovasi perubatan serta kesedaran komuniti.
Menerusi pengiktirafan itu, Walton bukan sahaja dilihat sebagai tokoh perniagaan dan seni, tetapi juga sebagai pemangkin perubahan dalam membentuk masa depan penjagaan kesihatan yang lebih inklusif. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram