
SENYUMAN manis terukir pada wajah anakanda ke-10 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ketika menyambut ulang tahun kelahirannya ke-34 bersama isteri tercinta, Yang Mulia Anisha Rosnah dalam majlis tertutup baru-baru ini.
Menerusi rakaman video yang dikongsi di media sosial, pasangan diraja itu kelihatan saling bertatapan penuh mesra, mencuri perhatian rakyat dan peminat dari dalam serta luar negara.
Sejak melangsungkan perkahwinan pada Januari 2024, Putera Mateen dan Anisha sering menjadi tumpuan umum kerana kemesraan dan keakraban mereka di khalayak.
Bukan sekadar dikenali dengan personaliti karismatik, Putera Mateen juga memainkan peranan penting sebagai diplomat utama Brunei.
Baginda kerap mengiringi ayahanda, Sultan Hassanal Bolkiah dalam pelbagai acara rasmi, majlis kenegaraan dan pertemuan diplomatik.
Dari segi akademik, baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Politik Antarabangsa dari King’s College London pada 2014, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam Pengajian dan Diplomasi Antarabangsa di School of Oriental and African Studies, University of London, London.
Baginda turut memiliki latar belakang ketenteraan yang kukuh.
Pernah menjalani latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, baginda kemudian berkhidmat bersama Household Cavalry Mounted Regiment’s Life Guards dan Blues and Royals.
Pada 28 April 2017, baginda menamatkan latihan penerbangan asas di RAF Cranwell, seterusnya layak sebagai juruterbang helikopter di Defence Helicopter Flying School, RAF Shawbury, United Kingdom.
Pada 2021, baginda dinaikkan pangkat ke Mejar. Selain tugas rasmi, Putera Mateen turut dikenali sebagai pemain polo berbakat mewakili Brunei di pentas antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram