
TIDAK dinafikan, masih wujud segelintir individu yang memilih untuk mengecam atau menyisihkan seseorang apabila mengetahui individu tersebut hamil anak luar nikah.
Bagi sesetengah pihak, situasi itu dianggap sebagai sesuatu yang sangat memalukan dan bertentangan dengan ajaran agama.
Namun, berbeza bagi seorang wanita yang tampil berkongsi kisah dirinya membantu sahabat yang sedang melalui detik sukar itu semasa di penghujung semester pengajian.
BACA LAGI: 'Saya tak sangka itu aib baginya', ibu akui tersilap cerita hal peribadi anak depan keluarga
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di platform Threads oleh pengguna bernama @pemerhatidunianmr yang menceritakan bagaimana beliau menyedari kehamilan sahabatnya selepas ditegur oleh teman lelakinya tentang perubahan fizikal wanita tersebut.
“Saya perhatikan cara beliau tidur menghadap dinding dan memakai baju longgar. Memang nampak perut buncit. Apabila saya tanya, beliau mengaku mengandung,” tulisnya.
Menyedari usia kandungan sudah hampir cukup bulan, beliau segera berbincang dengan rakan-rakan lain dan mendapatkan bantuan teman lelaki untuk menghantar sahabatnya ke sebuah pusat akhlak di negeri lain. Pusat tersebut menerima tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Bukan itu sahaja, beliau juga membantu menguruskan penangguhan pengajian sahabatnya kerana bimbang proses kelahiran berlaku di dalam kawasan universiti, yang boleh menyebabkan penglibatan pihak pengurusan institusi.
“Alhamdulillah, pusat tu terima. Seminggu selepas dihantar, sahabat saya hubungi dan maklumkan bahawa beliau telah selamat bersalin,” kongsinya.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang membantu sahabatnya ketika itu.
Menurutnya, bayi tersebut kini dijaga oleh keluarga angkat, manakala si ibu telah berkahwin dan hidup bahagia bersama suami yang mengetahui kisah silamnya.
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi positif dalam kalangan warga maya yang memuji tindakan beliau yang dianggap penuh belas ihsan.
“Alhamdulillah, tak ada nak mengamuk tiba-tiba. Cuma nak pesan, kalau nampak orang mengandung luar nikah, janganlah marah apatah lagi mengata. Nanti kena dekat batang hidung sendiri, tak tahu nak terima,” komen @oatcrunchh.
“Syukur baca ni. Ternyata masih ada orang baik, kawan yang baik, tak buang kawan. Susah nak jumpa orang macam ni zaman sekarang,” kata @aimiiiyei.
“Bagusnya awak. Masa tu mesti beliau pun buntu. ALLAH hadirkan awak untuk bantu. Semoga awak, kawan awak dan semua yang terlibat dimudahkan urusan dan sentiasa dalam rahmat-Nya,” tulis @specialida. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram