
TECNO Malaysia, jenama telefon pintar global terkemuka melancarkan inovasi terbaharunya, Siri Pova 7, hasil kerjasama dengan organisasi e-sukan utama negara, Todak.
Pelancaran Siri Pova 7 yang berlangsung di Todak Academy, Cyberjaya menjadi satu lagi pencapaian penting dalam misi Tecno untuk menawarkan teknologi berkuasa, berprestasi tinggi dan mampu milik kepada pengguna di Malaysia.
Pengurus Negara Tecno Malaysia, Eric Rao berkata, jenama itu komited membawakan peranti yang bukan sahaja berkuasa tetapi juga bergaya, seiring keperluan pengguna masa kini.
BACA LAGI: Ahmad Fadli, nama graduan MSU di sebalik kejayaan Todak Studios
Siri terbaharu jenama itu dilengkapi dengan pakej yang memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna.
“Di Tecno, kami percaya teknologi hebat perlu berkuasa dan bergaya. Dengan Siri Pova 7, kami menyediakan peranti yang membolehkan pengguna mengekspresikan kreativiti, menikmati permainan tanpa gangguan dan kekal berhubung dengan penuh gaya,” katanya ketika berucap pada pelancaran Siri Pova 7 pada Jumaat lalu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Todak, Mohd Ikmal Fareeq Shamsul Bahri; Pakar Produk Tecno, Salina View dan pelakon popular, Zizan Razak selaku duta rasmi Tecno.
Sementara itu, Mohd Ikmal Fareeq berkata, kerjasama tersebut bukan sekadar teknologi semata-mata, sebaliknya membina platform bermakna untuk budaya, persaingan dan komuniti.
“Bersama Tecno, kami membangkitkan semula semangat e-sukan dan membawa peminat kembali ke dalam ceritanya,” jelas beliau.
Mohd Ikmal Fareeq (kiri) dan Eric (kanan) ketika majlis pelancaran Siri Pova 7 di Todak Academy, Cyberjaya pada Jumaat lalu.
Tecno dalam pada itu turut mengumumkan Player Unknown's Battlegrounds (PUBG) sebagai rakan telefon pintar rasmi untuk Siri Pova 7, mengukuhkan lagi komitmennya terhadap industri permainan mudah alih dan e-sukan di Asia Tenggara.
Dalam perkembangan sama, Salina menyifatkan siri terbaharu jenama itu sebagai pakej lengkap yang memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna.
Menurutnya, model berkenaan menawarkan kamera sebenar 108 megapiksel (MP) seperti yang terdapat pada model Alca 5G, sekali gus membuktikan ia bukan sekadar telefon pintar untuk permainan, tetapi turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang canggih.
“AI yang digunakan dalam Pova 7 bukanlah AI biasa. Berbeza dengan telefon lain yang terhad fungsi, AI ini direka bukan sahaja untuk produktiviti tetapi juga kreativiti,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai produktiviti, Salina berkata, Pova 7 antara lain menyediakan fungsi AI Call Summary yang membolehkan terjemahan masa nyata semasa panggilan telefon, jika pengguna tidak memahami bahasa pihak lain.
Salina berharap kerjasama antara Tecno dan Todak dapat diteruskan pada masa hadapan.
"AI ini turut mampu meringkaskan isi perbualan panjang dan menyimpan ringkasan tersebut ke dalam aplikasi nota," ujarnya.
Mengenai kerjasama bersama Todak, Salina berkata, berdasarkan kajian, Todak adalah organisasi yang seiring dengan konsep telefon pintar berteraskan permainan seperti Pova.
"Mereka mempunyai akademi sendiri dan melatih pemain profesional untuk permainan popular seperti Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Todak sangat dekat dengan masyarakat Melayu, yang juga menjadi sebahagian besar pasaran sasaran kami,” katanya menambah kesemua peranti dalam Siri Pova 7 akan dijual pada harga di bawah RM1,500 dan boleh didapati melalui platform e-dagang serta pengedar rasmi Tecno di seluruh negara.
Siri Pova 7 baharu merangkumi tiga model berbeza iaitu Pova 7, Pova 7 5G dan Pova 7 Ultra 5G dengan masing-masing direka untuk memenuhi keperluan pengguna Gen Z, pemain permainan mudah alih dan pencipta kandungan digital yang semakin berkembang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram