
JIKA kebiasaannya selepas perceraian, anak-anak akan tinggal bersama salah seorang ibu bapa, berbeza pula dengan kisah dikongsikan seorang wanita apabila tiga anak saudaranya memilih untuk dibesarkan oleh beliau.
Menurut wanita berkenaan, sejak abang kandungnya berpisah dengan bekas isteri, anak-anak memilih untuk tinggal bersama beliau dan adiknya, walaupun kedua-dua ibu bapa mereka kini sudah berkahwin semula
Ujarnya, keputusan tersebut dibuat sendiri oleh anak-anak berkenaan demi mendapatkan persekitaran hidup lebih selamat dan sihat.
"Kalau isi apa-apa borang anak saudara, mesti rasa sedih untuk isi bahagian maklumat ibu.
“Seolah-olah mereka tiada ibu. Selalunya saya isi bahagian bapa dan waris sahaja,” katanya menerusi hantaran di akaun Threads milik nrhafezah pada Ahad.
Beliau berkata, percubaan untuk menyatukan anak-anak itu tinggal bersama bapa kandung dan ibu tiri hanya bertahan sekitar setahun, sebelum mereka kembali memilih untuk bersama ibu saudara.
Wanita itu turut berkongsi, anak saudaranya yang paling bongsu kini berusia 12 tahun, sudah dibesarkan dalam jagaan mereka sejak usia dua tahun.
Jelasnya, ketiga-tiga beradik berkenaan jarang pulang ke rumah ibu kandung, mungkin hanya sekali setiap dua bulan.
"Sebab masing-masing duduk asrama, minggu balik mereka akan pulang ke rumah kami, jarang balik rumah ibu kandung.
"Sebab saya ada dengan mereka dari kecil. Bayangkan kalau kita pertama kali datang bulan, mesti nak beritahu mak kan?
"(Mereka) tak beritahu dua-dua pun, (sebaliknya) anak saudara memilih untuk bercerita kepada makcik-makcik dia," ujarnya.
Katanya lagi, keputusan anak-anak itu untuk tinggal bersama beliau juga berpunca daripada trauma masa lalu, selain mereka berasa lebih selamat dan disayangi dalam persekitaran tersebut.
Beliau menjelaskan, hubungan ibu bapa kandung anak-anak itu masih baik, namun kemungkinan mereka berasa kurang selesa selepas masing-masing berkahwin lain.
"Kita nampak anak adalah mangsa, tetapi sebenarnya ALLAH SWT nak selamatkan mereka dari keadaan lebih teruk, iaitu menjadi saksi hubungan yang tidak sihat.
"Sekarang mereka bahagia dengan makcik-makcik, maksudnya persekitaran yang sihat. Suasana positif itulah akan dibawa sehingga dewasa, berkahwin sehinggalah ada anak cucu nanti," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram