[VIDEO] Ibu anak 4 gegar pasaran AS dengan aiskrim berperisa ‘susu badan’


  • Sukses
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Bagi Hirschhor, kewujudan jenama Frida berhasrat membantu ibu bapa menghadapi saat getir dan realiti yang kurang glamor. — Agensi

DALAM dunia keibubapaan sering dipenuhi dengan jenama pakaian dan hiasan bilik bayi yang indah, Frida muncul dengan pendekatan berbeza.

Kewujudan jenama diasaskan Chelsea Hirschhor itu berhasrat membantu ibu bapa menghadapi saat getir dan realiti kurang glamor.

Produk Frida menjadi pilihan utama para ibu kerana tiga faktor iaitu membantu pada waktu diperlukan, harga berpatutan dan berkesan.

BACA LAGI: Dari kafe universiti ke empayar jutaan ringgit, graduan undang-undang hanya jana RM500 tempoh 6 bulan pertama bisnes

BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

Salah satu produknya yang terkenal, NoseFrida, dicipta bagi menyedut hingus bayi secara higienik menggunakan sedutan nafas ibu bapa.

Hirschhor mula mengenali produk itu apabila seorang rakan menghadiahkannya alat ciptaan Sweden, NasFrida.

Namun, beliau hanya menggunakannya apabila anak sulungnya jatuh sakit.

“Picagari mentol hospital tidak berkesan, jadi saya cuba alat berkenaan. Ia menjijikkan tetapi sangat memuaskan sebagai seorang ibu,” katanya.

Pengalaman itu menjadi pencetus pada penubuhan Frida pada 2014.

Sejak itu, Hirschhorn memperluas rangkaian produk daripada NoseFrida kepada pelbagai penyelesaian seperti Windi Gas-passer, kit pemulihan selepas bersalin dan lebih 150 produk lain yang kini dijual di peruncit besar termasuk Walmart dan Target di Amerika Syarikat (AS).

Bagi ibu kepada empat anak tersebut, Frida mengisi jurang tidak disediakan oleh pasaran, menangani masalah seperti pembuangan air besar, selsema dan kentut yang jarang dibincangkan.

“Kami dibiarkan bergantung pada kategori produk yang basi dan ketinggalan zaman.

"Saat itulah saya sedar seluruh kategori ini boleh diolah semula,” jelasnya.

Hirschhorn merupakan ibu kepada empat cahaya mata. — Instagram/fridamom

Namun, keberanian Frida mengetengahkan isu kesihatan wanita berdepan cabaran iklan, termasuk larangan menggunakan perkataan vagina pada papan iklan dan penolakan siaran iklan pemulihan selepas bersalin oleh saluran berita digital ABC semasa Anugerah Oscars.

Untuk memecah stigma tersebut, Hirschhorn melancarkan Frida Uncensored pada tahun lalu, menawarkan video panduan pendidikan kepada wanita sepanjang perjalanan keibubapaan.

“Matlamat kami adalah mendidik wanita secara tepat dan jujur mengenai tubuh mereka sendiri,” katanya.

Walaupun mengurus empayar produk yang berkembang pesat, Hirschhorn tetap mengutamakan keluarga.

“Saya seperti menguruskan sejuta perkara dalam satu masa, jadi tidak dapat dinafikan pastinya akan ada yang 'terjatuh'.

"Namun saya selesa dengan pengorbanan itu kerana keluarga sentiasa di tempat pertama,” ujarnya.

Menurut Hirschhorn, matlamat penubuhan Frida adalah untuk mendidik wanita secara jujur mengenai tubuh mereka sendiri. — Instagram/fridamom

Aiskrim perisa 'susu badan’

Baru-baru ini, jenama keibubapaan terkenal itu kembali mencuri perhatian dengan pelancaran produk baharu, aiskrim berperisa susu badan, yang kini menjadi bualan hangat di AS.

Bekerjasama dengan syarikat aiskrim berskala kecil berpusat di New York, OddFellows, Frida memperkenalkan perisa unik itu dalam bentuk pint (dijual dalam bekas bulat sederhana) edisi terhad bagi pasaran seluruh negara.

Walaupun kedengaran luar biasa, perisa berkenaan tidak mengandungi susu badan sebenar, sebaliknya hanya dirumus untuk meniru rasa tersebut.

Produk yang mula diperkenalkan awal tahun ini boleh dibeli secara dalam talian dengan penghantaran ke seluruh AS.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, promosi agresif di media sosial oleh Frida dan OddFellows termasuk paparan lori tangki bertulis 'Breast Milk Ice Cream' mencetuskan kekecohan serta perdebatan dalam talian, dengan ramai pengguna keliru tentang kandungan sebenar aiskrim itu.

Produk aiskrim berperisa susu badan kini menjadi bualan hangat di AS. — Instagram/fridamom

Menurut senarai ramuan rasmi, aiskrim berkenaan mengandungi susu, krim pekat, serbuk susu tanpa lemak, gula, dekstrosa, kuning telur, invert sugar, gam guar, perisa karamel masin, sirap madu, kolostrum lembu liposom, pewarna kuning makanan, 0.1 peratus propilparaben (pengawet) dan pewarna FD&C Merah 40.

Frida menjelaskan, perisa itu menawarkan rasa manis, sedikit masin, bertekstur lembut dengan sentuhan madu serta taburan kolostrum, selain warna kekuningan yang menyerupai kolostrum sebenar.

Fenomena tersebut bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan beberapa selebriti antarabangsa, termasuk Kourtney Kardashian, Ashley Graham dan Coco Austin, pernah mencetuskan momen tular kerana mencuba susu badan.

Menurut Frida, trend inilah yang menjadi inspirasi terciptanya perisa aiskrim unik tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram