[VIDEO] Jaga 'VIP cilik' di majlis perkahwinan, Sandra sedia khidmat 'wedding nanny', hilangkan stres pengantin baharu


  • Sukses
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Weir menegaskan, tanggungjawabnya jauh lebih kompleks daripada yang disangka.

BAGI kebanyakan tetamu, majlis perkahwinan adalah peluang untuk meraikan pasangan pengantin.

Namun untuk Sandra Weir, 31, ia adalah hari bekerja, menjaga anak-anak tetamu supaya ibu bapa mereka bebas menikmati majlis tanpa kebimbangan.

Berasal dari Yonkers, New York, Amerika Syarikat (AS), Weir bukanlah 'wedding crasher’, tetapi sering menghadiri majlis perkahwinan walaupun namanya tiada dalam senarai jemputan.

BACA LAGI: Selepas berguru dengan bapa, Master Kay atur langkah bina empayar rawatan alternatif sendiri

BACA LAGI: Dari temu bual ke rakan kongsi spa, Tyra dan Raja Amanda mampu raih lebih RM100,000 sebulan

 

 

Ini kerana beliau merupakan pengasuh profesional yang mengendalikan semua keperluan kanak-kanak sepanjang majlis perkahwinan dan resepsi.

Dengan bayaran AS$35 (RM148) sejam, tidak termasuk kos pengangkutan dan tip, pengasas The Wedding Nanny NYC itu pernah mengurus sehingga 10 kanak-kanak berusia antara dua hingga 12 tahun serentak.

“Saya pastikan mereka selamat, diberi makan, dibawa ke tandas dan dibawa keluar jika menangis.

"Kebiasaannya kanak-kanak tidak mahu duduk mendengar ucapan, jadi kami hiburkan dan libatkan mereka dengan aktiviti menyeronokkan sesuai usia.

"Sangat puas apabila saya dapat memberi ketenangan fikiran kepada ibu bapa sementara mereka menikmati hari bahagia mereka,” katanya memetik laporan The Post.

Sudah 10 tahun Weir menjalankan perkhidmatan 'wedding nanny.'

Pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pemakanan itu meninggalkan kerjaya 9 pagi hingga 5 petang untuk mengusahakan The Wedding Nanny NYC, sebuah perkhidmatan pengasuh majlis kahwin yang ditubuhkan selepas videonya menjaga kanak-kanak di majlis perkahwinan tular di media sosial.

Menurutnya, permintaan semakin meningkat kerana ramai pasangan pengantin sudah mempunyai anak atau melibatkan kanak-kanak dalam kumpulan pengiring pengantin.

“Kami mahu mencipta sesuatu yang lebih daripada sekadar mengasingkan kanak-kanak ketika majlis berlangsung.

"Suasananya perlu lebih mesra, hangat dan menghiburkan sepanjang majlis,” jelasnya.

Permintaan 'wedding nanny' semakin meningkat kerana ramai pasangan pengantin sudah mempunyai anak.

Fasih berbahasa Sepanyol dan Inggeris, bekas pakar pemakanan tersebut mengekalkan gaya hidup sihat melalui masakan, penyediaan makanan sihat dan aktiviti gimnasium.

“Itu yang membuatkan saya sentiasa bertenaga dan bersedia mengikut apa sahaja rentak kanak-kanak,” ujarnya yang menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari di gimnasium.

Weir menegaskan, tanggungjawabnya jauh lebih kompleks daripada yang disangka.

“Orang fikir ini kerja sambilan atau sekadar jaga budak, tapi hakikatnya ia memerlukan banyak kerja berbilang tugas, dari persediaan untuk kanak-kanak yang ada alahan hingga memastikan kami siap sedia untuk bayi, kanak-kanak kecil dan semua peringkat umur,” kongsi beliau. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram