Ibu anak autisme kecewa terima surat 'layang' dari jiran, seru masyarakat lebih empati


  • Bonda
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Seorang ibu berkongsi surat aduan diterima ekoran gangguan bising berpunca daripada anaknya.

SEORANG ibu meluahkan rasa kecewa selepas menerima surat 'layang' daripada jiran tentang gangguan bunyi bising didakwa berpunca akibat anaknya yang merupakan kanak-kanak autisme.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menjelaskan, anak keduanya berusia sembilan tahun tersebut disahkan autisme tahap sederhana (moderate autism) dan sehingga kini masih memakai lampin serta tidak memahami arahan.

Keadaan itu memaksa dia untuk sentiasa mengawasi anaknya sepanjang masa walaupun sibuk berniaga di premis kedainya.

BACA LAGI: Kaedah 'memberus' bantu kawal tantrum anak austistik, ini 6 cara boleh buat di rumah

BACA LAGI: Elak konflik keluarga di masa hadapan, suami disaran letak nama isteri sebagai penama KWSP

Menerusi perkongsian di Instagram, surat aduan tersebut meminta agar Ammy Emielya lebih peka dan menghormati privasi masyarakat di kawasan tersebut terutamanya pada hujung minggu.

"Tolong hormat jiran yang ada kat sini, terlalu bising sampai terganggu privasi jiran nak rehat hujung minggu," tulis surat tersebut.

 

 

Terkesan dengan perkara itu, pemilik premis manisan donut tersebut tampil menjelaskan situasi dan tekanan dihadapi sepanjang membesarkan anak autisme.

"Kalau terlepas keluar dari kedai atau rumah, mesti tak akan jumpa jalan balik saya dah sediakan bilik untuk anak-anak saya rehat di kedai.

"Saya tak minta simpati awak, cuma saya rasa kedai yang saya sewa ni bukan bilik mayat, ini realiti kehidupan saya, saya bukan minta simpati awak, cuma nak awak faham hidup saya tak mudah.

"Saya bukan duduk goyang kaki, saya jaga anak, saya kerja, saya urus kedai, semua serentak kalau awak penat dengan bunyi, awak boleh rehat tapi saya? Saya tak ada masa pun nak rehat," ujarnya.

Dalam pada itu, Ammy Emielya menerusi hantaran berasingan menjelaskan bahawa dia sudahpun bertanya kepada jiran tetangganya tentang aduan berkenaan namun tiada siapa yang mengaku.

Terbuka untuk berbincang tentang isu terbabit, dia berharap agar sebarang aduan berkaitan anaknya dikemukakan secara telus tanpa berselindung.

"Kalau berani tegur, jangan sembunyi belakang kertas cakap elok depan-depan," tambahnya.

Maka, kesedaran dan kefahaman tentang autisme bukan sahaja dapat mengurangkan salah faham, tetapi juga membantu membina komuniti yang lebih prihatin.

Sedikit empati serta sokongan daripada jiran mampu memberi perbezaan besar dalam kehidupan keluarga yang membesarkan anak istimewa dan komunikasi secara berhemah juga jauh lebih baik daripada tindakan yang boleh menyinggung perasaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram