
BIARPUN sekadar menjual mainan, suri rumah yang juga merupakan ibu kepada tiga cahaya mata ini secara tiba-tiba menjadi fenomena dalam kalangan pengguna media sosial.
Dikenali sebagai 'Kakak Naga', penghuni nama sebenar Nur Faizah Khalid, 34, itu sama sekali tidak menjangkakan perniagaan dijalankan digemari dan diminati ramai.
Terlebih dahulu menjalankan sebuah restoran 'Mee Besen' yang pernah tular sekitar 2019 sebelum ini di Bandar Hilir, Melaka, wanita terbabit akui dirinya kini sedang di fasa membiasakan diri dengan perhatian daripada orang ramai.
"Dulu pernah ada restoran, dari kedai beralih ke gerai dan sekarang niaga tepi jalan, bila malam buat live TikTok jual mainan budak-budak tapi yang membelinya budak-budak 'purba'.
"Saya tak sangka yang orang boleh terima karakter saya yang macam ni, walaupun sebenarnya hanya jual mainan untuk suka-suka tampung pendapatan keluarga tapi bila pergi mana-mana orang minta bergambar.
"Terasa macam artis pula dah bila macam ni walhal sebenarnya saya ni introvert orangnya, tak reti pun nak bermesra kalau depan ramai tapi senyum je bila ada minta bergambar," katanya kepada Majoriti.
Mengimbau kembali detik awal penglibatannya dalam penjualan mainan di TikTok, Nur Faizah asalnya sekadar menjual patung naga namun semakin dikenali selepas membawa masuk mainan-mainan unik dari luar negara.
Paling tidak dilupakan apabila jumlah penonton di TikToknya mencapai angka 30,000 orang yang menurutnya satu momen manis sepanjang hidupnya.
"Sebelum ni jual naga printed 3D je tapi tak adalah sampai viral, bila jual mainan itik tu yang mula orang suka dan jualan pun laris.
"Penonton live saya pernah capai 30,000 orang mata memandang dan semua terhibur dengan gelagat saya, tapi itu bukan dibuat-buat, memang saya bercakap dengan anak pun macam ni gayanya.
"Alhamdulillah rezeki pun bertambah sampai sekarang nak live pun dah susah sebab sibuk dengan temu ramah radio, program lain-lain, saya buat masa sekarang tengah hayati detik jadi 'artis' ni," ujarnya berseloroh.
Restoran Mee Besen pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.
Terdahulu, restoran Mee Besen diusahakan sebelum ini mendapat sambutan ramai bukan sahaja masyarakat di Melaka, malah turut dipenuhi pengunjung dari serata negara.
Pun begitu, atas beberapa faktor perniagaan makanan itu terpaksa ditutup dan kini sekadar menjalankan secara sambilan pada hujung minggu.
Tidak mensasarkan impian terlalu menggunung dalam jualan mainan diusahakan, Nur Faizah sebaliknya mahu fokus untuk melariskan lagi jualannya selain terus memenuhi permintaan pembeli-pembelinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram