
RAMAI rakyat Malaysia masih mengambil ringan soal penama dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), walhal ia adalah antara perkara penting dalam perancangan kewangan keluarga.
Penama bukan sekadar nama di atas kertas, tetapi penentu kepada kelancaran proses pengeluaran simpanan apabila pemilik akaun meninggal dunia.
Dalam konteks rumah tangga, suami yang juga merupakan pemegang utama akaun KWSP juga perlu peka untuk mengemas kini maklumat tersebut dari semasa ke semasa.
BACA LAGI: Imbau insiden budak jatuh depan mata, Nur Shahida pertikai tiada saksi kes kematian Zara Qairina
Perubahan status perkahwinan, pertambahan ahli keluarga atau kematian penama terdahulu adalah antara situasi yang memerlukan semakan semula penama.
Kemaskini maklumat dan penama KWSP sangat penting dalam konteks pasangan suami isteri. — Gambar hiasan
Seorang wanita dipercayai kakitangan KWSP baru-baru ini menjelaskan beberapa situasi dihadapi berkaitan isu berbangkit.
Jelasnya, individu yang tidak menukar penama kepada isteri berisiko tinggi meninggalkan waris dengan bebanan hutan dan perebutan harta di kalangan adik beradik ipar.
"Isteri-isteri sekalian make sure husband korang letak nama korang as penama KWSP, walaupun penama hanya pentadbir dan lepas dapat duit masih perlu bahagi secara faraid, at least duit tu memang sah dibayar kepada penama.
"Hari ini handle kes penama adalah nama parents in law dan parents in law dah berusia. Adik-beradik arwah suami ramai dan hamak duit tu ye tak bagi parents in law tu keluar kan duit," katanya menerusi hantaran Threads.
Kepentingan tukar penama isteri
Bagi pasangan yang telah berkahwin terutamanya suami, pengemaskinian maklumat dan pertukaran penama penting untuk:
1. Memastikan isteri cepat menerima wang simpanan
Dengan adanya nama isteri sebagai penama, KWSP dapat menyalurkan simpanan secara terus kepada isteri tanpa melalui proses mahkamah yang panjang.
Ini penting untuk menampung kos hidup, pendidikan anak, dan keperluan harian sementara menunggu urusan pusaka selesai.
2. Memudahkan urusan pembahagian pusaka
Penama bertindak sebagai pentadbir yang menguruskan wang tersebut mengikut hukum faraid (bagi Muslim) atau peruntukan undang-undang pusaka (bagi bukan Muslim).
Jika isteri menjadi penama, ia memudahkan pembahagian kerana beliau lebih mengetahui keperluan keluarga.
3. Mengelakkan konflik keluarga
Tanpa penama yang jelas, ada risiko waris bertelagah atau membuat tuntutan bercanggah, yang akhirnya melambatkan proses pengeluaran simpanan.
4. Langkah perlindungan kewangan awal
Sekiranya suami meninggal dunia secara mengejut, isteri akan menerima akses lebih cepat kepada sumber kewangan untuk melunaskan hutang, membayar bil, dan meneruskan kehidupan.
Cara menukar penama KWSP isteri
Langkah 1: Hadir ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran.
Langkah 2: Bawa MyKad untuk pengesahan identiti.
Langkah 3: Isi Borang KWSP 4 untuk pendaftaran atau pertukaran penama.
Langkah 4: Pastikan penama berumur 18 tahun ke atas dan dipercayai.
Kebiasaannya proses tersebut biasanya tidak mengambil masa lama dan boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang waktu pejabat KWSP beroperasi.
Kesan jika tidak tukar penama isteri
Proses tuntutan jadi lambat: Waris perlu mendapatkan perintah mahkamah atau sijil faraid sebelum KWSP boleh memproses pengeluaran.
Hak waris terdekat terkandas: Wang mungkin dipegang pihak lain sementara menunggu proses undang-undang.
Pertikaian keluarga: Konflik mudah tercetus apabila lebih daripada seorang waris menuntut hak.
Kos perundangan tinggi: Tindakan di mahkamah melibatkan kos guaman yang mungkin membebankan keluarga.
Kesimpulannya, walaupun isu penama KWSP sering dianggap perkara kecil, hakikatnya ia boleh memberi kesan besar kepada masa depan kewangan keluarga khususnya buat isteri dan anak-anak.
Mengemas kini maklumat penama, terutama menamakan isteri, adalah langkah mudah tetapi memberi impak yang besar dalam memastikan wang simpanan disalurkan dengan cepat dan teratur kepada mereka yang berhak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram