Kekal awet muda, tak sangka Anne Ngasri bakal cecah usia 41 tahun, kini teroka bidang baharu


  • Bonda
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Anne Ngasri menceburi industri fesyen muslimah melalui pelancaran butik AN Bawal Exclusive Johor.

FENOMENA selebriti menceburi bidang perniagaan kian menjadi trend di Malaysia.

Dari dunia hiburan ke pentas politik, ramai artis kini melangkah berani membina jenama sendiri, sama ada dalam sektor makanan, kosmetik mahupun fesyen.

Bagi segelintir mereka, dunia perniagaan bukan sekadar sumber pendapatan tambahan, tetapi wadah untuk berkongsi nilai, minat dan aspirasi dengan masyarakat.

BACA LAGI: Elak konflik keluarga di masa hadapan, suami disaran letak nama isteri sebagai penama KWSP

BACA LAGI: Imbau insiden budak jatuh depan mata, Nur Shahida pertikai tiada saksi kes kematian Zara Qairina

Mengikuti jejak langkah itu, pelakon dan pengacara terkenal, Datin Anne Ngasri turut mengambil peluang mengembangkan bakat dan pengaruhnya ke dalam industri fesyen muslimah melalui pelancaran butik AN Bawal Exclusive Johor baru-baru ini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

"Saya berdiri di sini bukan kerana kuatnya saya, tetapi kerana doa dan tangan-tangan yang mengangkat saya.

"AN Bawal Exclusive Johor bukan sekadar pembukaan butik, ia adalah permulaan niat yang tulus untuk membina sesuatu yang memberi nilai, bukan hanya kepada wanita, tetapi kepada ummah.

"Apa yang kami usahakan ini adalah satu bentuk dakwah kecil melalui perniagaan — menyampaikan mesej kelembutan, ketekunan dan keindahan Islam melalui rekaan yang sopan dan eksklusif," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Tidak hanya tertumpu sebagai pilihan fesyen muslimah, jenama pakaiannya turut berperanan memberi manfaat kepada masyarakat melalui nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam setiap rekaannya.

Kekal relevan

Bagi generasi yang membesar era 90-an, nama Anne Ngasri bukanlah asing dengan lakonannya menerusi drama popular Cili Padi (2006) telah mencipta fenomena dengan bakat lakonan bersahaja dan wajah manisnya yang memikat.

Sejak kecil, Anne sudah terdedah dengan dunia seni bersama adik-beradiknya yang juga pelakon iaitu Bell Ngasri, Darling Ngasri dan Along Ngasri.

Dilahirkan pada 18 Oktober 1984 dengan nama penuh Naszriah Ngasri, Anne terus mengukuhkan nama dalam industri hiburan sehingga dewasa, membintangi pelbagai drama, telefilem dan program televisyen.

Walaupun sudah lebih tiga dekad bergelar anak seni, penampilan Anne sering mencuri perhatian kerana kekal awet muda.

Selain aktif dalam bidang lakonan, Anne juga pernah terjun ke dunia politik dan menjadi ikon wanita berani yang memperjuangkan suara masyarakat.

Anne Ngasri di samping suami dan anak-anaknya.

Perkahwinan, keluarga

Anne pernah berkahwin pada 2006 dengan Abdul Wafi Hassan dan dikurniakan tiga orang anak, namun rumah tangganya berakhir pada 2010.

Selang dua tahun kemudian, beliau kemudiannya mendirikan rumah tangga kali kedua bersama ahli politik dan usahawan, Datuk Sumali Reduan.

Hasil perkahwinan itu, Anne dikurniakan tiga lagi cahaya mata, menjadikan jumlah keseluruhan anaknya kini enam orang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram