
SUASANA sebuah pesawat komersial bertukar riuh apabila dikejutkan dengan kehadiran pelakon legenda Bollywood, Rajinikanth yang juga merupakan penumpang kabin kelas ekonomi tersebut.
Rakaman itu tular di media sosial sejak Jumaat, memperlihatkan betapa pengaruh bintang berusia 74 tahun itu kekal memukau peminat merentasi generasi.
Fenomena itu tercetus menjelang tayangan filem terbaharunya berjudul Coolie yang merupakan karya ke-171 sepanjang lebih 50 tahun bergelar anak seni.
BACA LAGI: Imbau insiden budak jatuh depan mata, Nur Shahida pertikai tiada saksi kes kematian Zara Qairina
Filem arahan Lokesh Kanagaraj itu dijadualkan menemui penonton seluruh dunia pada 14 Ogos 2025 dalam lima bahasa iaitu Tamil, Telugu, Kannada, Hindi dan Malayalam.
Mengangkat genre aksi thriller dengan penampilan pelakon seperti Shruti Haasan, Nagarjuna dan Aamir Khan, bawak awal filem tersebut memaparkan video pendek sebagai penghormatan khas sempena ulang tahun ke-50 Rajinikanth dalam industri perfileman India tahun ini.
Fan Shouts "Thalaiva Face Paakanum" (Thalaiva Show Your Face)
The Superstar Rajinikanth responds to fans, stands up at front row and turns flight into a Fan Moment, while he was traveling from Chennai to #Hyderabad#Rajinikanth #Rajinikanth #Coolie #SuperstarRajinikanth pic.twitter.com/gtP3oOwsrO
— Surya Reddy (@jsuryareddy) August 7, 2025
Kisah peribadi Rajinikanth turut memberi nilai sentimental pada projek berkenaan.
Dalam satu majlis pelancaran di Chennai, India baru-baru ini, beliau mendedahkan pernah menangis selepas diejek kerana bekerja sebagai kuli pada zaman mudanya, pengalaman yang kini menjadi inspirasi kepada tajuk dan jalan cerita Coolie.
Sambutan peminat begitu luar biasa dengan di Kerala, India sahaja, lebih 50,000 tiket habis terjual dalam tempoh satu jam selepas jualan dibuka.
Tambahan itu, filem tersebut menerima penarafan A (untuk tontonan dewasa), satu gred yang jarang diperoleh filem Rajinikanth sejak tiga dekad lalu namun peminat rata-ratanya berharap agar versi sesuai untuk tontonan keluarga juga akan dihasilkan kelak.
Untuk rekod, Rajinikanth memulakan kerjayanya sebagai konduktor bas sebelum menceburi dunia lakonan pada 1975.
Bermula dengan watak sampingan, bapa kepada dua cahaya mata itu kemudiannya mencipta nama sebagai hero utama dalam filem Tamil dan menjadi ikon budaya pop di India serta Asia.
Digelar 'Superstar' dalam kalangan peminatnya, gaya lakonan yang karismatik, dialog bersahaja serta gerak tubuh unik menjadikan pelakon itu idola jutaan masyarakat termasuklah bintang generasi baharu.
Fenomena sorakan di pesawat itu menjadi bukti bahawa pengaruh Rajinikanth bukan sahaja menguasai layar perak, malah terus hidup di hati peminat sama ada di pawagam, jalanan mahupun di udara. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram