
TEKANAN emosi, fokus dan tingkah laku tantrum menjadi antara masalah utama dihadapi ibu bapa dalam membesarkan anak dengan isu autisme, ADHD ataupun sindrom Down.
Pelbagai pendekatan digunakan bagi membantu mereka, termasuk terapi tingkah laku, aktiviti fizikal dan latihan deria bagi membentuk perkembangan si kecil.
Namun, tahukah anda bahawa kesemua isu berbangkit boleh dibantu melalui kaedah sensory brushing yang semakin popular dan dipraktikkan di negara-negara Barat?
BACA LAGI: Khatan bayi perempuan tiada manfaat sudut kesihatan, risiko jangkitan alat sulit?
BACA LAGI: Elak konflik keluarga di masa hadapan, suami disaran letak nama isteri sebagai penama KWSP
Sekadar menggunakan sejenis berus, ia adalah teknik rangsangan sentuhan mendalam yang terbukti dapat membantu menenangkan sistem saraf dan meningkatkan tumpuan anak.
Mula dibangunkan pada awal 1990-an oleh Patricia Wilbarger, beliau merupakan seorang ahli terapi cara kerja dan pakar integrasi deria dari Amerika Syarikat (AS).
Kaedah sensory brushing berupaya membantu perkembangan deria kanak-kanak autisme. — Gambar hiasan
Kaedah tersebut direka untuk membantu kanak-kanak yang mengalami sensory defensiveness, iaitu kepekaan melampau terhadap sentuhan dengan memberikan rangsangan sentuhan mendalam bagi menenangkan sistem saraf si kecil.
Pakar Terapi Kanak-Kanak, Marliza yang juga merupakan ibu kepada seorang cahaya mata autisme menjelaskan beberapa kelebihan teknik tersebut menurutnya wajar diberi penekanan ibu bapa di luar sana.
"Untuk anak autisme atau ADHD, selain coping strategies, coping tools, mak ayah kena tahu pasal brushing protocol.
"Protocol yang bantu anak kita rasa tenang, bila dah tenang tu, boleh la dia fokus lama, emosi stabil, masalah tingkah laku pun terkawal.
"Masalahnya ramai ibu bapa tak ambil serius atau tak konsisten 'memberus' anak," katanya di laman Threads.
Kaedah tersebut memerlukan sejenis berus lembut dan disertakan dengan teknik mampatan sendi (joint compression) pada tapak kaki dan tangan anak.
Ia walau bagaimanapun perlu dilakukan di bawah bimbingan ahli terapi cara kerja yang bertauliah, sebelum ibu bapa boleh melaksanakannya secara konsisten di rumah.
Deria sentuhan amat penting bagi perkembangan kanak-kanak autisme. — Gambar hiasan/Freepik
Menurutnya, penggunaan sensory brushing yang konsisten boleh memberi kesan positif seperti:
1. Menstabilkan deria sentuhan – Membantu anak yang terlalu sensitif atau kurang sensitif terhadap sentuhan untuk mencapai keseimbangan deria.
2. Menenangkan sistem saraf – Rangsangan deep pressure membantu mengurangkan keresahan dan kegelisahan si kecil.
3. Meningkatkan fokus dan kawalan diri – Usai memberus, anak akan lebih mudah memberi perhatian terhadap pembelajaran atau aktiviti fizikal.
4. Persediaan untuk aktiviti tertentu – Membantu anak berada dalam keadaan tenang sebelum sesi terapi atau tugasan kerja di tadika.
5. Mengurangkan masalah tingkah laku – Mencegah anak daripada mudah tantrum dan mencederakan diri sendiri seperti memukul, mencakar atau mengamuk apabila tertekan.
Sementara itu, sensory brushing juga boleh dilakukan di rumah sebagai sebahagian daripada rutin harian dan aktiviti anak ketika masa senggang.
Tidak terbatas hanya pada perkembangan deria sahaja, aktiviti itu turut menggalakkan hubungan erat antara ibu bapa dan anak dengan si kecil akan berasa lebih disayangi melalui aktiviti bersama.
Cara melakukan sensory brushing di rumah
1- Gunakan berus khas – Gunakan kaedah Wilbarger atau berus deria yang disyorkan oleh ahli terapi.
2- Posisi anak selesa – Pastikan anak berada dalam keadaan relaks, duduk atau berdiri dan memahami bahawa aktiviti itu tidak akan menyakitkan.
3- Teknik sentuhan mendalam (deep pressure) – Berus perlahan tetapi dengan tekanan yang cukup untuk memberi rangsangan otot dan kulit, bukan hanya mengusap bahagian permukaan.
4- Urutan pergerakan – Mulakan dari bahu hingga ke tapak tangan, kemudian dari paha hingga ke tapak kaki.
5- Tempoh dan kekerapan – Sesi biasanya mengambil antara dua hingga tiga minit dan dilakukan setiap sejam hingga dua jam, bergantung pada jadual ditetapkan oleh ahli terapi.
6- Gabungkan dengan joint compression – Selepas memberus, berikan tekanan lembut pada sendi seperti siku, pergelangan tangan, lutut dan buku lali untuk menambah kesan menenangkan.
Justeru, sensory brushing boleh menjadi satu pendekatan yang bermanfaat untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah deria, terutamanya apabila ia dilakukan dengan kaedah yang betul.
Ibu bapa walau bagaimanapun digalakkan mendapatkan panduan daripada ahli terapi carakerja sebelum memulakan rutin itu di rumah, bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan terhadap si kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram