'Jangan normalisasi dosa', kartun K-Pop Demon Hunters pengaruh buruk kanak-kanak — Agamawan


  • Hiburan
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Kartun K-Pop Demon Hunters kian fenomena dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. — Agensi

INDUSTRI hiburan Korea Selatan ataupun K-Pop tidak pernah lekang daripada menghasilkan karya yang berkualiti dan trend seantero dunia.

Terbaru, kartun animasi K-Pop Demon Hunters (KPDH) menjadi fenomena dalam kalangan kanak-kanak serta remaja yang nyata terpegun dengan gabungan muzik dan aksi fantasi dipamerkan.

Walaupun mendapat sambutan hangat, kandungan animasi itu menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak khususnya ibu bapa dan golongan agamawan yang melihat ia berisiko mempengaruhi minda generasi muda dengan mesej tersirat.

BACA LAGI: Kaedah 'memberus' bantu kawal tantrum anak austistik, ini 6 cara boleh buat di rumah

BACA LAGI: Elak konflik keluarga di masa hadapan, suami disaran letak nama isteri sebagai penama KWSP

Seorang agamawan yang juga pakar motivasi, Abu Yaasir Syahmi melalui satu perkongsian di Facebook, mengingatkan agar masyarakat tidak menormalisasikan perkara yang bercanggah dengan ajaran agama.

Katanya, animasi itu secara halus menanam unsur negatif seperti obsesi melampau terhadap idola, imej cool syaitan, serta pendedahan aurat yang boleh menghakis sifat malu.

Menyifatkan animasi itu membawa pengaruh buruk terhadap pemikiran dan aktiviti sosial kanak-kanak, berikut merupakan tiga elemen yang wajar dipantau ibu bapa.

1- Obsesi terhadap K-Pop Idol

KPDH memaparkan keterujaan melampau peminat terhadap kumpulan K-pop rekaan, Saja Boys, terutamanya babak seksi dan tarian dipamerkan dalam animasi tersebut.

"Ada babak yang menghairankan seperti wanita yang terpaku, melting bila nampak ahli kumpulan Saja Boys menayangkan abs di khalayak ramai.

"Saya nampak ini sebagai satu propaganda untuk menjadikan al-Ishq (obsesi mencintai seseorang tanpa sebarang had) itu normal," katanya.

2. Imej cool dan trend iblis

Watak syaitan digambarkan dalam imej yang menarik dan moden, malah lebih parah apabila lagu nyanyian kumpulan tersebut mengandungi lirik Latin yang bermaksud seruan syaitan.

Perkara itu secara terang-terangan mempromosikan unsur penyembahan syaitan walhal ia jelas satu dosa besar menurut ajaran Al Quran.

3. Mendedahkan aurat dan sifat malu

Pendedahan aurat dan gaya berpakaian menjolok mata dalam kalangan watak wanita menurutnya boleh menghakis sifat malu.

"Mungkin ada yang kata, kira okay la tengok KPDH ni daripada tengok benda lain tapi kita lupa bahawa syaitan tidak terus bawa orang mensyirikkan ALLAH tapi dia misguide manusia ni step by step.

"Jika perkara ini dianggap biasa, generasi akan kehilangan benteng moral," ujarnya.

Maka, fenomena K-Pop Demon Hunters jelas mencerminkan cabaran besar ibu bapa dalam mendidik anak-anak di era digital, di mana hiburan mudah diakses tanpa batasan masa dan lokasi.

Walaupun kandungan kreatif mampu memberi hiburan dan inspirasi, pengawasan serta panduan berterusan amat penting agar nilai yang diserap selari dengan prinsip moral dan agama.

Tanggungjawab membentuk generasi berakhlak mulia tidak hanya terletak di bahu sekolah, tetapi bermula di rumah dengan didikan, contoh teladan dan kesedaran yang konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram