'Nak ikut kayuh ke London', pasangan suami isteri laksana impian kembara berbasikal lepas sedekad usia perkahwinan


  • Maya
  • Sabtu, 09 Ogos 2025

Ahmad Isa dan isterinya kini dalam misi kayuhan ke kota London.

MENGEMBARA jarak jauh dengan basikal bukan sekadar aktiviti sukan, tetapi juga simbol ketahanan fizikal, mental dan semangat tidak mudah menyerah. 

Namun, siapa sangka bahawa aktiviti tersebut menjadi hobi dan rutian buat pasangan suami isteri ini yang cukup dikenali dalam kalangan pengembara tempatan.

Ahmad Mohd Isa dan isterinya, Ustazah Noradilah Mohd Sapie atau lebih dikenali sebagai Ustazah Basikal menjadi inspirasi ramai apabila sanggup merentas benua demi mencapai destinasi impian dengan hanya mengayuh basikal.

BACA LAGI: Letih anak mengempeng 24 jam, ‘sleep training’ bantu bayi tidur lebih lena

BACA LAGI: [VIDEO] Penumpang wanita enggan terima baki lepas berkongsi e-hailing dengan nenek susah jual tisu tepi jalan

Mengimbau kembali detik awal perkahwinannya satu ketika dahulu, Ahmad Isa sama sekali tidak menjangka akan dipertemukan jodoh dengan wanita yang juga mempunyai minat sepertinya.

"Lepas kahwin, saya nak kayuh basikal ke London, nak ikut?" Demikian soalan Ahmad kepada Noradilah 11 tahun lalu. 

"Aku tahu, soalan ini kemungkinan 99 peratus wanita akan jawab 'Tak nak' namunnn! Adilah manusia rare, dia jawab NAK IKUT!" ujarnya di laman Facebook.

Selepas sedekad membina kehidupan bersama, pasangan itu kini memulakan misi berbasikal ke London, meneruskan tradisi kembara yang pernah menjadi bualan hangat apabila menjayakan kayuhan epik ke Makkah satu ketika dahulu.

Kini, Ahmad dan Noradilah sedang menjayakan kayuhan ke London, satu misi yang pernah dibincangkan di awal perkahwinannya. 

"Impian kita mungkin bukan dapat sekarang, tapi 10 ke 15 tahun lagi. Biiznillah, ia tetap boleh jadi kenyataan," katanya.

Dari Malaysia ke Makkah dengan RM1,900

Noradilah, seorang guru Al-Quran dan Ahmad, graduan seni bina yang meninggalkan kerjaya demi mengembara, mula dikenali selepas berjaya mengayuh basikal dari Malaysia ke Makkah. 

Perjalanan itu merentasi lebih 13 negara termasuk Thailand, Myanmar, India, Nepal, Pakistan, Iran dan Arab Saudi dalam tempoh 15 bulan, berbekalkan wang tunai hanya RM1,900.

Ustazah Basikal dan suaminya ketika melakukan kayuhan dari Kuala Lumpur ke Makkah pada 2016.

Berdepan pelbagai cabaran, Noradilah pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pakistan selama tiga hari, sementara Ahmad mengalami kecederaan pada mata dan menerima jahitan akibat kemalangan di Iran. 

Malah, pasangan itu turut berdepan detik cemas bila mana pernah ditahan tentera bersenjata di Pakistan dan cubaan culik di Afghanistan.

Buku dan perkongsian inspirasi

Pengalaman itu didokumentasikan dalam siri buku Ustazah Basikal, yang mendapat sambutan hangat pembaca. 

Bukan sekadar catatan perjalanan, buku tersebut cukup sarat dengan motivasi spiritual, kisah kemanusiaan dan keberanian menghadapi dugaan di negara asing yang nyata menjadi inspirasi ramai.

Selain aktif mengembara, pasangan itu kerap dijemput memberi ceramah motivasi di pelbagai institusi termasuk universiti, sekolah dan pusat komuniti, bagi menyuntik semangat kepada golongan muda untuk berani mengejar impian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram