
USAHAWAN dan personaliti terkenal, Datin Nur Shahida Mohd Rashid meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan beberapa pertikaian berkaitan kematian tragis remaja perempuan, Zara Qairina yang dilapor meninggal dunia Julai lalu.
Dalam satu hantaran di media sosial, isteri kepada Datuk Sri Aliff Syukri itu mengimbas kembali pengalaman peribadinya sewaktu tinggal di sebuah pangsapuri empat tingkat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur satu ketika dahulu.
Pernah menyaksikan sendiri kejadian seorang kanak-kanak jatuh dari tingkat empat, Shahida cuba merungkai persamaan insiden itu dengan kejadian malang menimpa Zara baru-baru ini.
"Tengah jalan nak balik ke rumah dari membeli nasi lemak seorang budak jatuh dari tingkat empat depan mata saya dan bunyi dia sangat la kuat ya sampai satu flat tu tercari-cari bunyi apa.
"Agak la pelik kalau arwah jatuh tak ada yang dengar dan sedar dan budak tu mengalami pendarahan yang sangat banyak.
"Jadi mengikut keadaan semasa arwah Zara yang tiada luka dan tak ada orang yang perasan agak la tidak masuk akal," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.
Terdahulu, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebelum ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama kira-kira pukul 4 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Shahida dalam masa sama turut menzahirkan harapan agar kes tersebut mendapat pembelaan sewajarnya.
"Semoga ada kebenaran terungkap dan arwah mendapat keadilan," tambahnya.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Sabtu mengesahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Allahyarham secepat mungkin bagi melengkapkan proses siasatan.
Katanya, proses itu dilakukan mengikut arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan proses gali kubur tersebut akan dimulakan secepat mungkin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram