
SEBAGAI seorang ibu saudara yang membesarkan anak saudara sejak kecil, pempengaruh masakan terkenal, Che Nom tidak pernah menyangka niat baiknya untuk membantu akan dibalas dengan rasa kecewa yang begitu mendalam.
Segala usaha dan pengorbanan demi memberikan peluang hidup yang lebih baik akhirnya terasa seperti ditikam dari belakang apabila anak saudaranya sendiri membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK), mendakwa beliau tidak menjaga kebajikan pekerja.
Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43, mendedahkan perkara itu menerusi satu hantaran di media sosial selepas menerima surat saman daripada JTK berkaitan laporan tersebut.
BACA LAGI: Hantaran eksklusif berjiwa seni, impian pasangan raja sehari
Katanya, perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan bersama keluarga itu tidak beroperasi seperti syarikat korporat yang mempunyai kontrak rasmi dan struktur sumber manusia.
“Anak saudara ni bukan orang lain, saya sendiri yang besarkan dia dari kecil. Apabila dah besar, saya ambil kerja sebab nak bantu beliau bina hidup di Lembah Klang. Saya bagi pendapatan tetap supaya hidupnya lebih teratur,” jelasnya
Menurutnya lagi, anak saudaranya itu hanya bekerja kurang 20 jam seminggu namun tetap menerima gaji penuh, termasuk ketika bercuti sebulan untuk menunaikan umrah elama dua tahun berturut-turut. Kos visa dan duit belanja tambahan juga dibiayai oleh beliau sendiri.
“Saya ajar dari kosong, siap buatkan slide cara guna sunting video. Cara guna kamera pun saya tunjuk satu-satu.
"Tapi beliau boleh laporkan ke JTK dan KWSP, guna bayaran tetap bulanan sebagai bukti saya tak jaga kebajikan pekerja,” katanya.
Che Nom turut menzahirkan rasa kecewa terhadap sistem yang tidak membezakan antara perniagaan keluarga kecil dan syarikat besar.
“Sistem pun satu hal. Tak faham beza antara bantu ahli keluarga secara santai dengan syarikat besar yang ada sumber manusia (HR) dan kontrak.
"Kalau semua benda kena formal sangat, susahlah nak tolong keluarga sendiri,” katanya lagi.
Beliau menutup luahannya dengan menyeru agar pihak berkuasa lebih memahami realiti pengusaha kecil sambil menjadikan insiden ini sebagai iktibar.
“Niat baik kita, Tuhan nampak. Lepas ni mungkin kena lebih berhati-hati,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram