
UCAPAN negatif boleh meninggalkan kesan yang mendalam, khususnya kepada kanak-kanak yang masih dalam proses membesar.
Itulah situasi dihadapi oleh anak pelakon dan usahawan terkenal, Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, baru-baru ini.
Sebelum ini, luahan anak perempuannya, Nur Fatima Aisya Abdul Fattah menjadi perhatian warganet apabila seseorang dalam kalangan ahli keluarga dikatakan menggelarkan dirinya tidak comel dan tidak bijak.
BACA LAGI: Hampir 2 tahun kahwin, Bunga Isme rasa untung bersuamikan lelaki rajin bantu buat kerja rumah
Fatima (kanan) meluahkan kekecewaannya apabila digelar tidak cantik.
Perkara tersebut secara tidak langsung membimbangkan Fazura terhadap perkembangan sosial dan kesihatan mental anaknya yang mesra disapa Fatima.
Menurut pakar psikologi klinikal United Kingdom (UK), Alyson Corner, kritikan sedemikian daripada kalangan ahli keluarga boleh membuatkan kanak-kanak kurang keyakinan diri.
Ia dibuktikan dalam satu kajian dilakukan oleh tokoh perintis kesihatan mental kanak-kanak, Sir Michael Rutter pada 1960 melibatkan seramai 2,000 kanak-kanak di Isle of Wight, Englang, UK yang berusia 10 hingga 28 tahun dan berdepan dengan situasi sama.
Pada 11 April 2024, Persidangan Antarabangsa Words Matter dengan sokongan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan hingga 40 peratus kanak-kanak menjadi mangsa penderaan verbal.
Kajian terkini juga menunjukkan kesan langsung terhadap otak dan sistem saraf.
Situasi itu membuatkan mereka lebih cemas atau mudah gementar dan berkemungkinan memberi kesan trauma sehingga usianya meningkat dewasa.
Bukan itu sahaja, kata-kata kasar bukan hanya terletak pada perkataan yang diucapkan, tetapi juga nada suara.
Sebagai contoh, ungkapan 'nakal betul' boleh terdengar mesra atau amarah dan perbezaan itulah yang memberi impak besar kepada emosi anak.
Ugutan seperti 'kalau tak diam, tak ada hadiah hari jadi' juga tetap meninggalkan kesan menakutkan kepada anak.
Justeru, pakar menasihatkan para ibu bapa untuk mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah tersebut.
Ibu bapa dinasihatkan untuk menilai situasi sebenar sebelum melemparkan kata-kata atau nada suara yang keras.
Memberi lebih banyak pujian dan penghargaan apabila anak berkelakuan baik, mengawal emosi serta menegur pasangan, ahli keluarga atau rakan yang bersikap kasar turut membantu mereka memahami kesan buruk kepada perkembangan anak. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram