
DI sebalik landskap hijau terbentang luas di sepanjang laluan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor, tersembunyi sebuah kawasan kecil yang memberi nafas baharu buat para pencinta alam.
Memilih keluar daripada kesibukan kerja dan hiruk pikuk bandar, Zalina Abdul Rahim membuat keputusan untuk meneruskan hidup dalam kawasan kampung.
Bermula dengan bercucuk tanam di dusun belakang rumah, Zalina dan suaminya, Sabarudin Othman kini menguruskan kebun dengan pelbagai jenis tanaman untuk sebagai tempat melakukan aktiviti santai.
BACA LAGI: Hampir 2 tahun kahwin, Bunga Isme rasa untung bersuamikan lelaki rajin bantu buat kerja rumah
Zalina memilih untuk menguruskan kebunnya secara santai.
Kebun yang dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti tandas, ruang solat, meja, kerusi, khemah dan kolam mandi itu juga dibuka kepada seluruh warga tempatan dan antarabangsa.
Menariknya, air bukit dijadikan sebagai sumber air bersih untuk kegunaan di kolam mandi itu.
Lebih 10 tahun menguruskannya, kebun yang diberi nama Ekar Lui itu menjadi antara lokasi agropelancongan strategik di Hulu Langat.
Masakan tidak, pengunjung bukan sekadar dapat merasai hasil tanaman, malah turut berpeluang menimba ilmu agrikultur atau pertanian terutama bagi golongan kanak-kanak.
Kata wanita berusia 59 tahun itu, idea perniagaan tersebut muncul selepas menganjurkan aktiviti komuniti Hari Raya Merangkap Sarapan Makan-Makan di kebunnya pada 2019.
"Waktu itu saya jemput keluarga dan rakan-rakan ke kebun kami dan saya mula sedar majoriti kanak-kanak sangat menikmati suasana alam semula jadi dan kehidupan di hutan.
"Memandangkan mereka tinggal di kawasan bandar, pengalaman di kebun ini benar-benar menyeronokkan mereka.
"Mereka dapat panjat, tanam pokok, beri makan ayam, kambing dan ikan," katanya kepada Majoriti.
Para pengunjung dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi di Ekar Lui.
Matlamat Zalina juga untuk menghidupkan semula sumber alam serta menyumbangkan kebaikan kepada masyarakat.
Zalina yang pernah menyandang jawatan tinggi di sebuah syarikat minyak dan gas itu juga sanggup meninggalkan kerjayanya demi menghidupkan Ekar Lui.
"Saya pencen awal sekitar 50-an dan fikir untuk mulakan perniagaan sebelum umur 60 tahun.
"Kebun ini asalnya ada pokok durian dan manggis, tetapi suami rajin uruskan dan memang gemar bercucuk tanam.
"Dialah yang selalu tanam pokok-pokok baharu sehingga sekarang dan sudah ada lebih 10 jenis tanaman," jelasnya.
Antara tanaman yang ada adalah durian, manggis, rambutan, pulasan, cempedak, nangka, kopi, tomato, sengkuang, bunga telang, labu dan banyak lagi.
Ekar Lui juga boleh dijadikan sebagai lokasi menganjurkan aktiviti kecil-kecilan.
Sekolah kebun
Dengan seluas tiga ekar, Zalina sememangnya memanfaatkan kawasan itu bukan sekadar untuk dinikmati, malah sebagai lokasi pendidikan awal kanak-kanak.
Ibu kepada enam anak itu juga sanggup menuntut ilmu pertanian di luar untuk mengajar kanak-kanak yang berkunjung ke kebunnya.
"Kami ada slot untuk mengajar kanak-kanak menanam pokok. Daripada situ saya nampak dan terkejut respons mereka sangan memberangsangkan.
"Tengok mereka bermain dengan tanah, air dan kita ajar cara siram pokok yang betul.
"Untuk sesi ini, kami akan sediakan semua alat termasuk pasu mini. Mereka juga boleh bawa pulang pokok kecil yang mereka tanah dan saya akan hubungi semula keluarga untuk tahu perkembangan hasil tanamannya," jelasnya.
Kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti menanam pokok.
Katanya lagi, setiap pokok yang ditanam adalah berasaskan sayur-sayuran seperti timun atau lain-lain.
Sambil menjaga kebun, Zalina juga aktif menjadi tenaga pengajar bebas di sekolah-sekolah pendidikan awal kanak-kanak yang memerlukan khidmatnya.
Baginya, setiap pelajar di sekolah memerlukan asas yang baik tentang dunia pertanian.
"Saya juga ajar para guru untuk jayakan 'edible garden' di sekolah mereka.
"Sebenarnya bukan nak tengok kejayaan sahaja, tetapi disiplin, cara berfikir dan bagaimana mereka ubah rutin harian pelajar.
"Contohnya, bila dah ada tanaman, kanak-kanak akan ada rutin bangun pagi dah siram pokok.
"Jadi, mereka lebih menghargai hasil tanaman mereka sendiri. Baja pula saya ambil pendekatan untuk guna daripada bahan organik iaitu baja kompos," ujarnya.
Baja kompos adalah baja organik yang terhasil daripada penguraian bahan-bahan organik seperti sisa dapur, daun kering dan rumput.
Baja kompos digunakan untuk keperluan tanaman.
Proses penguraian itu melibatkan mikroorganisma yang mengubah bahan organik menjadi nutrien mudah diserap oleh tumbuhan.
Ia juga dapat meningkatkan kesuburan, memperbaiki struktur dan membantu mengekalkan kelembapan tanah.
Meskipun setakat ini dia sudah membelanjakan kos lebih RM200,000, Zalina tidak hanya fokus untuk mempromosikan perniagaannya secara berlebih-lebihan.
Baginya, kebun itu sudah menjadi rumah kedua buat dia dan keluarganya meluangkan masa.
Bersyukur kediamannya dikelilingi komuniti yang mempunyai kesepakatan dan keharmonian tinggi.
Mereka juga saling berkongsi tenaga dan hasil sekiranya ada yang memerlukan.
Antara tanaman pokok herba di Ekar Lui.
Antara aktiviti dan pakej yang ditawarkan di Ekar Lui:
1. Picnic at the farm dibuka setiap hari minggu pukul 9 pagi hingga 4 petang dengan bayaran mengikut pesanan buah seperti durian, manggis dan lain-lain.
2. Kelas menanam pokok termasuk pakej memberi makan kambing dan aktiviti santai dengan harga RM50 seorang.
3. Sewaan acara tertutup berharga RM600 sehari dari pukul 9 pagi hingga 4 petang dan kegunaan semua fasiliti secara eksklusif.
Aktiviti menikmati buah-buahan di kebun Ekar Lui.
Acara peribadi juga termasuk sambutan hari lahir, program bina diri oleh syarikat dan sekolah.
Selain itu, kawasan Hulu Langat dan Gombak termasuk dalam senarai geopark negara pertama di Selangor dengan keluasan 112,955 hektar.
Dinamakan Geopark Gombak Hulu Langat (GHL), ia menampilkan 31 geotapak, 20 tapak diiktiraf sebagai kawasan eko dan geo-pelancongan dengan landskap semula jadi dan geologi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram