Bukan saja-saja isi pendidikan, pekerjaan dalam 'buku pink', rupanya ada kaitan sepanjang hamil


  • Bonda
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

'Buku pink' diperuntukkan kepada setiap ibu hamil berdaftar di pusat kesihatan kerajaan. — Gambar hiasan

SETIAP wanita yang mendaftarkan kehamilannya di klinik atau hospital kerajaan dikehendaki untuk mengisi dan menyimpan buku rekod kesihatan ibu atau 'buku pink'.

Selain menyimpan segala rekod kandungan bayi, penyakit atau risiko, ia membantu petugas kesihatan merancang kaedah terbaik untuk menyelamatkan ibu dan anak.

Kesemua maklumat diri termasuk tahap pendidikan dan jenis pekerjaan ibu juga perlu dilengkapkan.

BACA LAGI: Sedih bila ambil gambar, ibu kongsi perjalanan anak alami 'flat head' pakai cranial helmet

BACA LAGI: 'Biarlah budak-budak', tanpa sedar ayat ini punca, bentuk anak jadi 'kaki buli'

Setiap maklumat pesakit akan diteliti agar langkah pendekatan dapat diberikan secara menyeluruh. — Gambar hiasan

Mungkin ramai menyangka ia hanya diisi sebagai formaliti, namun ia ternyata memainkan peranan penting dalam proses pemantauan kesihatan ibu sepanjang hamil.

Berdasarkan pendedahan dibuat oleh seorang ibu menggunakan akaun Threads @_kamaliza147, maklumat tersebut membantu petugas kesihatan memahami lebih terperinci tentang latar belakang pesakit.

"Saya anak ketiga baru ada 'buku pink'. Jadi, saya tanya jururawat apa tujuannya. 

"Jururawat beritahu supaya maklumat diberi kepada ibu dapat diterima dan difahami.

"Daripada maklumat itu juga boleh dikaitkan dengan sebarang isu-isu berbangkit semasa mengandung.

"Betapa terperincinya prosedur kesihatan kerajaan," katanya.

Maklumat yang diberikan bagaimanapun bukanlah bertujuan untuk merendahkan status pesakit.

Sebaliknya, ia antara cara bagi mengelakkan jurang dalam berkomunikasi antara petugas dan pesakit.

"Kalau tulis pekerjaan suri rumah dan tahap pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tiba-tiba doktor cakap bahasa saintifik.

"Nanti awak cakap doktor tak sensitif. Doktor cuba bantu untuk fahami diri dan keadaan pesakit, bukan menghakimi awak," tambah @farayasmin94.

Bukan itu sahaja, pengambilan maklumat setiap pesakit juga adalah penting untuk disimpan sebagai data kerajaan.

Status ekonomi keluarga serta tahap pendidikan pesakit mampu menunjukkan pola kehidupan rakyat Malaysia.

Ia secara tidak langsung memberi jawapan dalam sebarang kajian melibatkan kesihatan masyarakat setempat.

Langkah itu sekali gus membolehkan pemeriksaan berkala yang dilakukan di klinik kesihatan kerajaan lebih menyeluruh dengan pendekatan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap ibu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram