Makan seorang di kafe beri impak positif kesihatan mental, tapi jangan terlalu kerap, ini sebabnya...


  • Sihat
  • Ahad, 10 Ogos 2025

Meluangkan masa dengan makan seorang diri dapat memberi ketenangan pada minda dan fikiran. — Gambar hiasan

PERNAHKAH anda makan seorang diri di restoran dan mungkin rasa diperhatikan oleh orang sekeliling?

Menikmati hidangan sendirian di tempat awam mungkin agak janggal dan kekok bagi segelintir individu.

Ada sesetengahnya beranggapan bahawa golongan sedemikian tidak mempunyai rakan atau lebih senang melakukan segala perkara seorang diri.

BACA LAGI: Hampir 2 tahun kahwin, Bunga Isme rasa untung bersuamikan lelaki rajin bantu buat kerja rumah

BACA LAGI: Ibu wajar ajar anak gadis catit tarikh haid, guna aplikasi mudah pantau jika PMS

Makan seorang diri di tempat awam bukanlah perkara baharu. — Gambar hiasan

Namun, menurut pakar kesihatan mental, situasi itu ternyata boleh memberi kesan positif terhadap kesejahteraan diri jika dilakukan dengan seimbang.

Pakar psikiatri di Ahmedabad, India, Dr. Sarthak Dave berkata, makan sendirian bukanlah sesuatu perkara negatif.

Malah, memberi tumpuan penuh kepada hidangan tanpa gangguan atau perbualan membolehkan deria rasa, bau dan penglihatan bekerja selari dengan sistem saraf autonomi termasuk proses pencernaan.

"Kita boleh lakukan pelbagai tugas, tetapi apabila fokus hanya pada satu perkara, hasilnya lebih baik.

"Makan dengan penuh fokus membolehkan tubuh menyerap nutrien lebih berkesan sekali gus menyokong kesihatan keseluruhan," katanya.

Sementara itu, Perunding Psikiatri di Arete Hospital, India, Dr. Vishnu Gade pula menegaskan bahawa makan sendirian mampu menenangkan fikiran, meningkatkan keyakinan diri dan memberi ruang kepada otak untuk berehat daripada tekanan harian.

Antara manfaat lainnya termasuk lebih peka terhadap rasa lapar atau kenyang, menghargai masa bersama diri sendiri, meningkatkan kekuatan emosi dan memberi ruang minda untuk bertenang.

Perunding Psikologi Klinikal di Manipal Hospital, Bengaluru, India, Dr. Satish Kumar CR mengingatkan bahawa makan bersama orang lain terutama ahli keluarga dapat mengeratkan hubungan dan memperbaiki cara berkomunikasi.

Makan bersama ahli keluarga ataupun rakan dapat mengeratkan hubungan. — Gambar hiasan

Menurutnya, jika terlalu kerap makan sendirian, ia juga berisiko untuk menjejaskan kesejahteraan mental.

"Sekali-sekala untuk mencari ketenangan tidak mengapa, tetapi jika menggantikan rutin makan bersama keluarga atau komuniti, ia boleh membawa kepada rasa terasing dan kesunyian," katanya.

Latihan kesedaran diri

Pakar Psikologi Klinikal di Lissun, Meghna Kanwat pula berkata, makan sendirian dapat dipadankan dengan amalan ‘mindful eating’ atau makan secara sedar.

Ia memberi peluang untuk refleksi diri, mengurus emosi serta mengurangkan kebimbangan.

Keseimbangan adalah kunci

Tambah Dr. Dave, makan bersendirian secara tidak dinafikan melambangkan keyakinan dan keselesaan terhadap diri sendiri.

Namun, jika berpunca daripada masalah mental seperti kemurungan, gangguan pemakanan atau kebimbangan sosial, ia perlu diberi perhatian.

"Nikmati masa makan sendirian untuk refleksi dan ketenangan, tetapi jangan abaikan kegembiraan dan hubungan yang datang daripada makan bersama orang lain," jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram