
PENYANYI dan pelakon, Bunga Isme, 25, mendedahkan pengurusan emosi antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi selepas mendirikan rumah tangga sejak 2023.
Isteri kepada vokalis kumpulan Razqa, Amzar Sabri itu juga sempat berkongsi pengalamannya berumah tangga pada usia muda.
Bunga atau nama sebenar Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari juga menyifatkan usianya secara tidak langsung menjadikan dirinya masih berada dalam fasa 'rebel' atau memberontak.
BACA LAGI: Tidak mahu sia-siakan 22 tahun perkahwinan, Edika Yusof kini mahu fokus jaga isteri, urus bisnes
BACA LAGI: [VIDEO] Memasak 'love language' Eyka Farhana, resepi mudah jamu suami, keluarga
"Bunga memang seorang yang keras kepala juga. Jadi, untuk mengawal emosi itu cabaran untuk Bungalah.
"Tetapi, Alhamdulillah, suami saya memang tak pernah marah," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2025.
Bercerita pula tentang perbezaan usianya dengan Amzar yang berusia 29 tahun, Bunga berkata, jurang kecil itu memudahkan mereka membina komunikasi yang sihat dalam rumah tangga.
Baginya, setiap pasangan suami isteri perlu mempunyai toleransi dan sentiasa berkomunikasi walaupun sedang dilanda konflik.
"Toleransi itu bermula daripada bagaimana kita berkomunikasi dengan pasangan.
"Kalau seorang marah, kalau dua marah, dia ada cara untuk komunikasinya.
"Apa yang kita terapkan, kalau sedang marah, tak puas hati, kami kena selesaikan sebelum tidur supaya tak ada salah faham.
"Sebelum tidur itulah masa nak saling memujuk," jelasnya.
Kini memasuki tahun kedua perkahwinan, Bunga turut mengakui pelbagai sisi berbeza suaminya yang baru diketahui selepas mendirikan rumah tangga.
Antara yang mengejutkannya adalah rutin harian dan sikap suami yang sangat rajin membantu kerja rumah.
"Dulu saya ingat saya yang paling rajin. Tetapi, rupa-rupanya suami lagi rajin.
"Suami memang setiap pagi dia akan buat rutin seperti kemas rumah, kadang-kadang dia pun masak.
"Itu antara perkara baharu yang saya tahu ada pada suami," ujarnya.
Bunga pada masa sama menitipkan pesanan buat pasangan muda yang baru mendirikan rumah tangga.
"Kalau nak kahwin pastikan niat dan cara perlu betul.
"Selalulah bertolak ansur, toleransi dan berkomunikasi. Komunikasi, kejujuran adalah kunci yang penting," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram