Barangan mewah dibuang pelajar universiti dalam tong sampah, cetus idea bisnes penulis sebelum jadi kaya-raya


  • Bisnes
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Lena Geller juga antara individu yang memakai dan menjual barangan terpakai. — The Star

BAYANGKAN jika anda menemui sepasang kasut Valentino bernilai RM4,165 (AS980), ketuhar Tovola RM1,655 (AS$390) dan meja eksklusif Clear Home Design Lucite yang boleh dijual pada harga RM3,820 (AS$899).

Kesemuanya tanpa mengeluarkan modal, sebaliknya diperoleh secara percuma di dalam tempat pembuangan sampah.

Itulah situasi yang dialami oleh seorang penulis di Amerika Syarikat (AS), Lena Geller.

BACA LAGI: Sedih bila ambil gambar, ibu kongsi perjalanan anak alami 'flat head' pakai cranial helmet

BACA LAGI: Hampir 2 tahun kahwin, Bunga Isme rasa untung bersuamikan lelaki rajin bantu buat kerja rumah

Kasut mewah antara barang yang dibuang oleh pelajar universiti di kawasan tersebut. — The Star

Kata Geller, hampir 70 barangan mewah dibuang oleh pelajar Universiti Duke selepas tamat musim bunga.

"Saya rasa sangat bersalah apabila melihat banyak barangan masih dalam keadaan baik dibuang begitu sahaja," katanya.

Setelah diteliti, wanita berusia 26 tahun itu menggarkan nilai keseluruhan barang tersebut mencecah RM28,040 (AS$6,600).

Lebih menarik apabila kisah Geller mampu membuka mata ramai pihak terhadap potensi menjadikan 'dumpster diving' atau selaman tong sampah sebagai peluang perniagaan.

“Ada ramai kawan saya yang mesej untuk merancang melakukan perniagaan.

"Rasa seperti banyak duit yang boleh dibuat daripada semua ni,” jelasnya.

Menurutnya, kegiatan pelajar membuang barangan seperti perabot, perkakas elektrik, pakaian jenama dan buku teks selepas tamat pengajian bukanlah perkara baharu.

Namun, ia menjadi lebih ketara apabila semakin ramai penduduk tempatan dan pencari barangan terpakai berkongsi 'hasil tangkapan' mereka di media sosial.

Barangan terpakai yang dikumpul turut diubah suai menjadi hiasan dalaman rumah. — The Star

Seorang pengasas syarikat perisian, Peter Valley telah menjadikan aktiviti menjual semula buku-buku yang dibuang pelajar sebagai sumber pendapatan.

Pada waktu kemuncaknya, Valley pernah memperoleh pendapatan lima angka sebulan hasil daripada menjual barangan terpakai di kampus universiti.

"Kali pertama saya sedar potensi aktiviti ini adalah ketika menyelam tong sampah di Caltech, Pasadena, California, AS,” katanya.

Kini, video 'haul' hasil selaman tong sampah menjadi trend di platform seperti TikTok.

Barangan yang ditemui bukan sahaja barangan asas seperti tuala atau pencuci pakaian.

Ada juga yang menemui gitar Fender, pakaian jenama Lululemon dan jaket mewah Moncler bernilai lebih RM8,500 (AS$2,000).

Manakala, Carla Manlapaz, 62, yang menetap berhampiran kolej di Texas, AS turut menjalankan perniagaan sama.

Carla menjual barangan terpakai di Facebook Marketplace, Etsy dan Poshmark.

"Sangat menyeronokkan. Saya dah bersara dan usia pun dah 62 tahun.

"Tak banyak yang boleh hiburkan saya, tetapi ini memang memuaskan," katanya.

Menurut pakar, Anna Sacks, usaha tersebut bsgi mengurangkan pembaziran masih belum cukup dan perlu diteruskan.

"Saya sedang sarat hamil sembilan bulan pun masih pergi kutip sirap maple dari tong sampah di Columbia University,” katanya. — The Star/ALEXANDER NAZARYAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram