
SEORANG pemandu e-hailing wanita meraih pujian ramai apabila mempamerkan sikap terpuji membantu individu warga emas dipercayai penjual tisu di stesen bas.
Meskipun sedang bekerja dan dalam perjalanan menghantar penumpangnya, tumpuannya secara tiba-tiba teralih kepada sosok tubuh individu berkenaan yang dilihat berseorangan dan menangis teresak-esak di bawah panas terik.
Prihatin terhadap situasi tersebut, pemandu itu kemudiannya berhenti untuk menghulurkan sedikit wang sebagai bantuan dan sumbangan ikhlas.
BACA LAGI: Pengorbanan ibu rahsia kejayaan, Johan Ghazali hadiahkan jam Rolex dari hasil ganjaran kemenangan
Namun, situasi berubah sebaik warga emas berusia 70 tahun itu menceritakan bahawa dia dihina dan dicaci oleh seorang individu ekoran pekerjaannya sebagai penjual tisu.
Terkesan dengan perkara tersebut, pemandu dikenali sebagai Pony Raj itu kemudiannya terus menawarkan bantuan untuk menumpangkan individu berkenaan.
Dalam perjalanan, wanita tua itu sempat menceritakan bahawa dia menjual tisu bagi menampung kehidupan keluarga selain mempunyai anak dan cucu Orang Kurang Upaya (OKU).
Malah, dia turut berkongsi bahawa dirinya kini tidak mampu lagi untuk bekerja berat kerana faktor usia dan masalah kesihatan.
Dua-dua baik hatithankyou orang baik. pic.twitter.com/hm0aewedVr
— ِ (@bckupacc99) August 6, 2025
"Kadang-kadang orang tak faham dia tak fikir pasal orang, biar dia nanti tuhan bagi balasan setimpal, biar kita hati baik sudahlah.
"Auntie cari rezeki halal tau bukannya mencuri duit orang, orang berkata tu biarkan, mulut orang ni memang macam-macam, nanti saya tolong selesaikan masalah auntie.
"Nasib baik ada adik (penumpang) baik hati ni, sebab tu saya tanya dulu boleh tak tumpangkan dia sekali sebab saya tengok muka awak pun ada risau juga," katanya di TikTok pada Rabu.
Dalam pada itu, pujian melambung turut diberikan kepada penumpang wanita terbabit yang sangat ikhlas dalam membantu walaupun tidak mengenali warga emas tersebut.
Malah, dia sama sekali enggan menerima baki bayaran pengangkutan e-hailing tersebut selepas berkongsi dengan wanita tua itu.
Di akhir video berkenaan, kedua-dua pemandu dan penumpang itu menghulurkan sedikit bantuan wang kepada individu kurang bernasib baik tersebut.
Meskipun tidak banyak, keikhlasan hati dipamerkan menjadi topik bualan hangat warga maya yang tidak henti-henti mendoakan agar keduanya dimurahkan rezeki atas kebaikan dilakukan.
Kisah itu menjadi peringatan kepada masyarakat bahawa setiap insan berhak dilayan dengan rasa hormat, tanpa mengira status atau pekerjaan dimiliki.
Semoga kebaikan itu menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyemai nilai empati dan prihatin dalam kehidupan seharian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram