
TIDAK fasih berbahasa Mandarin bukan halangan buat Nurul Huda Mohamed Azhar mengejar minatnya dalam bidang Perubatan Tradisional Cina (TCM).
Segalanya bermula apabila peminat drama berbahasa Cina itu mula tertarik dengan kabinet dihiasi ukiran, dipenuhi aneka jenis herba menerusi drama yang sering dipaparkan dalam rancangan televisyen.
Minat tersebut mendorong gadis berusia 21 tahun itu menyambung pengajian dalam Diploma Teknikal dalam Pengurusan Kecantikan dan Kesejahteraan sebaik program tersebut diperkenalkan di ITE Kolej Timur pada 2023.
BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha
BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha
Nurul Huda adalah satu-satunya penerima Pingat Emas Persekutuan Perniagaan Singapura. — ITE
Ketika itu, Nurul Huda baru sahaja menamatkan pengajiannya dalam kursus Nitec dalam Khidmat (Kecantikan dan Kesejahteraan) di institusi sama.
Beliau merupakan antara 13,552 penuntut ITE yang menamatkan pengajian pada 28 Julai lalu.
Lebih membanggakan, beliau adalah sebahagian daripada kohort pertama menamatkan diploma teknikal tersebut.
Atas pencapaiannya yang cemerlang dipilih sebagai salah seorang daripada 16 penerima Anugerah Unggul ITE tahun ini.
Lebih membanggakan, beliau adalah satu-satunya penerima Pingat Emas Persekutuan Perniagaan Singapura, iaitu penghormatan tertinggi bagi graduan program diploma teknikal.
Anugerah berprestij itu disampaikan Menteri Pendidikan, Desmond Lee dalam satu majlis rasmi yang diadakan di ITE Kolej Tengah.
Nurul Huda (kiri, barisan belakang) berkesempatan melakukan program pertukaran pelajar di Hong Kong.
Cabaran bahasa
Mengulas tentang perjalanan pengajiannya, Nurul Huda mengakui pada awalnya beliau menyangka TCM hanya untuk masyarakat Cina.
“Malah, pelajaran pertama tentang konsep asas Yin dan Yang sudah cukup mencabar kerana saya langsung tidak biasa dengannya,” katanya.
Namun, beliau tidak menjadikan kekangan bahasa sebagai alasan untuk berundur.
“Saya tak terlalu fikirkan tak boleh cakap Cina. Saya lebih fokus pada minat dan pengetahuan dan bagaimana saya boleh gunakan ilmu itu untuk bantu pelanggan,” tambah anak kedua daripada tiga beradik itu.
Sepanjang tempoh pengajiannya, Nurul Huda turut menyertai program pertukaran pelajar ke Hong Kong.
Semakin tertarik dengan kaedah rawatan wajah TCM, khususnya teknik gua sha, yang mula dikenalinya ketika bekerja sambilan sebagai pakar kecantikan.
Nurul Huda berhasrat untuk membuka pusat rawatannya sendiri satu hari nanti. — ITE
Pusat rawatan sendiri
Nurul Huda kini berazam untuk membuka pusatnya sendiri suatu hari nanti, yang menawarkan rawatan menyeluruh, daripada penjagaan kulit hingga kesihatan dalaman.
Beliau juga mahu memperluas kefahaman masyarakat Melayu dan Islam terhadap TCM yang sering disalah anggap.
“Saya faham ada keraguan dari segi halal atau tidak, terutama apabila ada bahan seperti alkohol atau unsur babi.
"Jadi saya ingin sediakan rawatan yang sesuai dan meyakinkan mereka dahulu,” jelasnya.
Menariknya, Nurul Huda juga mewarisi pengetahuan tentang jamu daripada ibunya dan melihat peluang untuk menggabungkan amalan tradisional pelbagai budaya ke arah penjagaan lebih holistik.
Kini, beliau giat mempelajari bahasa Mandarin sebagai persediaan menduduki ujian Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK), iaitu ujian bahasa standard antarabangsa yang menjadi tiket untuk menyambung pengajiannya dalam TCM ke peringkat ijazah.
Langkah demi langkah, Nurul Huda sedang melakar laluan untuk merealisasikan impiannya.
Wanita itu mahu menjadi pakar TCM yang bukan sahaja berilmu, tetapi mampu menjambatani budaya, bahasa dan kepercayaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram