Utamakan pegangan agama, bekas pekerja logistik nekad berhenti kerja tawar servis cuci rumah di Lembah Klang


  • Bisnes
  • Rabu, 06 Ogos 2025

Mohd Kujari (kanan) dan Syahirah (kiri) bersama-sama menjalankan perniagaan mereka.

BIARLAH dipandang sederhana, asalkan ia menjadi sumber halal dalam mencari rezeki.

Sampah dan habuk bagaikan sudah menjadi rutin harian buat pasangan suami isteri dari Puncak Alam, Selangor ini.

Bagi Mohd Kujari Mahmud, 45, dan Syahirah Masrial, 35, kerja membersihkan dan mencuci merupakan punca utama buat mereka menyara keluarga.

BACA LAGI: Suami poligami, isteri bijak pasang peguam rancang strategi kewangan, jual aset bersama

BACA LAGI: Aktiviti menggunting asah koordinasi mata, latih kawalan diri kanak-kanak, perlu pemantauan ibu bapa

Setiap tugas dilakukan dengan cermat dan berhati-hati.

Kata Mohd Kujari, idea untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan membersihkan rumah dan bangunan diinspirasikan daripada ibu mertuanya.

"Pada awalnya, isteri saya yang mula bantu ibu dia bersihkan rumah orang.

"Lama kelamaan saya nampak potensi servis ini boleh jadi kerjaya.

"Jadi, pada September 2024 kami mula cuba perlahan-lahan sehingga sekarang," katanya kepada Majoriti.

Mohd Kujari atau lebih senang dipanggil Jai juga sanggup meninggalkan kerjayanya dalam bidang logistik sebelum ini untuk meneruskan perniagaan itu secara sepenuh masa.

Pasangan itu membahagikan tugas mengikut kemampuan masing-masing bagi memastikan proses pembersihan lancar.

Demi keberkatan dalam mencari rezeki, Jai nekad mengubah kehidupannya 100 peratus.

"Saya pilih untuk berhenti kerja sebab ada percanggahan dalam tuntutan agama.

"Waktu itu syarikat tersebut sudah mula terima untuk penghantaran minuman alkohol.

"Jadi, sebagai Muslim saya perlu utamakan agama.

"Duit, kerja boleh dicari tetapi keberkatan itu yang kita mahu," jelasnya.

Pakej pembersihan mampu milik

Mengutamakan pendekatan telus kepada pelanggan, pasangan itu menetapkan harga berdasarkan jumlah pekerja, tempoh masa dan keadaan rumah atau bangunan.

Kata Syahirah, harga minimum yang dikenakan adalah serendah RM25 untuk seorang pekerja bagi pembersihan asas, manakala RM35, pembersihan menyeluruh dengan minimum tempoh selama empat jam.

"Kalau rumah terlalu usang boleh ambil masa sampai enam jam. 

"Tetapi, kita caj ikut kepala dan jam. Boleh cecah sekitar RM100 hingga RM200 seorang untuk satu rumah.

"Dalam sehari, kami akan selesaikan satu rumah sahaja sebab masih tiada tenaga kerja lagi, setakat ini hanya kami berdua," ujarnya.

Ditanya pula tentang pendapatan harian, Jai bersyukur apabila perniagaannya lebih menguntungkan berbanding ketika masih bekerja.

Setiap sudut rumah pelanggan dibersihkan dengan teliti demi menjaga kualiti kerja. 

Katanya, meskipun bekerja sebagai tukang cuci itu bukanlah kerjaya mewah, namun usaha mereka tetap tidak pernah putus.

"Kalau dahulu orang tengok kita kerja cuci-cuci uni biasa sahaja.

"Tetapi bila mereka tengok kita buat dengan serius sampai ada uniform, ada sistem yang teratur, mereka pun faham dan hormat," katanya.

Perkhidmatan yang diberi nama abangkakakcuci itu juga dilakukan di sekitar kawasan Lembah Klang. 

Pendapatannya juga boleh dianggap stabil kerana mampu menjana sekitar RM500 hingga RM700 dalam sehari.

Fleksibiliti untuk mengatur masa bersama dua anaknya turut menjadi antara faktor pasangan itu terus berusaha menjalankan perniagaan mereka.

"Bila bekerja sendiri lebih senang uruskan hal anak-anak.

"Kadangkala anak saya pun turut serta bila hujung minggu.

"Alhamdulillah, mereka sangat memahami kerja kami walaupun pada awalnya ada sedikit kekeliruan," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram